
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/KUSKOP
JOHOR BAHRU, 7 Jun (MalaysiaAktif) – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi SME Corp. Malaysia melancarkan Program Sokongan Industri dan Perniagaan Rakyat (SINAR) bernilai RM205 juta bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menghadapi cabaran semasa akibat Krisis Bekalan Global (KBG) yang berpunca daripada konflik di Asia Barat.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong, berkata program baharu itu merangkumi lima inisiatif melibatkan bantuan kewangan dan bukan kewangan bagi memperkukuh daya tahan PMKS dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu.
Beliau berkata, kerajaan memahami tekanan yang dihadapi usahawan susulan peningkatan kos operasi serta ketidaktentuan pasaran akibat perkembangan geopolitik dan geoekonomi dunia.
“Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, kerajaan tidak boleh membiarkan PMKS berdepan cabaran ini bersendirian.
“Melalui SINAR, kita mahu memastikan usahawan mempunyai akses kepada pembiayaan dan sokongan yang diperlukan untuk terus bertahan, berkembang serta mencipta peluang pekerjaan,” katanya ketika merasmikan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) 2026 dan Mini Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Peringkat Negeri Johor di Angsana Johor Bahru Mall, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, daripada jumlah peruntukan keseluruhan, tiga program pembiayaan ditawarkan dengan jumlah pembiayaan sehingga RM5 juta pada kadar keuntungan atau faedah antara tiga hingga lima peratus setahun melalui kerjasama Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), microLEAP PLT dan Funding Societies.
Menurutnya, Program Penskalaan Perniagaan Inklusif diperkenalkan sebagai inisiatif pembangunan kapasiti yang menawarkan geran sehingga 90 peratus kepada PKS yang mengintegrasikan komuniti inklusif dalam rantaian bekalan mereka, selain membantu perusahaan mikro meningkatkan kemahiran bagi mempercepat transformasi perniagaan.
“Program SINAR akan dibuka untuk permohonan mulai Jun 2026 dan turut menyediakan akses kepada pembiayaan tambahan serta program pembangunan kapasiti bagi membantu PMKS mengekalkan aliran tunai, meneruskan operasi dan memperkukuh ketahanan perniagaan.
“Bagi memudahkan akses kepada inisiatif tersebut, PMKS yang ingin memohon pembiayaan hanya perlu mendapatkan Status PMKS, iaitu pensijilan rasmi yang mengesahkan sesebuah perniagaan memenuhi definisi PMKS,” katanya.
Turut berlangsung sempena karnival itu ialah Program Halal Sukses KUSKOP Johor yang menyediakan bimbingan kepada usahawan berkaitan pensijilan halal, pemasaran digital serta peluang jaminan pembiayaan perniagaan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin dan Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud.
-AA-




