Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

JPNIN Perluas Pusat Mediasi Komuniti Demi Kesejahteraan Rakyat

By 2 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shaik Fikri (Terengganu)

KEMAMAN, 7 Jun (MalaysiaAktif) – Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) terus memperkukuh usaha memelihara keharmonian masyarakat menerusi Pusat Mediasi Komuniti yang berperanan menyelesaikan konflik secara damai tanpa perlu melalui proses mahkamah.

Ketua Pengarah JPNIN, Zulkifli Hashim, berkata sebanyak 156 kes konflik komuniti telah dikendalikan di seluruh negara sepanjang tahun lalu berbanding 215 kes pada 2024, dengan kebanyakannya melibatkan isu kejiranan seperti parkir kenderaan, kutipan sampah dan perselisihan faham antara penduduk.

Menurut beliau, pendekatan mediasi memberi ruang kepada pihak terlibat mencapai persefahaman dan persetujuan bersama melalui rundingan yang lebih mudah serta menjimatkan kos.

“Seramai 595 Mediator Komuniti yang terlatih dan berpengaruh dalam masyarakat kini membantu mengendalikan kes-kes konflik di seluruh negara,” katanya selepas merasmikan Program Inisiatif Mediasi, Penyelesaian Harmoni dan Pusat Mediasi Komuniti Daerah Kemaman, semalam.

Beliau berkata, sejak 2017 hingga Mei 2025, sebanyak 1,273 kes mediasi telah direkodkan dengan kadar penyelesaian melebihi 85 peratus setiap tahun, manakala sebanyak 45 kes direkodkan setakat Mei tahun ini.

Setakat ini, sembilan Pusat Mediasi Komuniti telah beroperasi di seluruh negara dan JPNIN menyasarkan pembukaan tiga lagi pusat baharu menjelang penghujung tahun bagi memperluaskan akses rakyat kepada perkhidmatan penyelesaian konflik yang harmoni dan berkesan.

-AA-

Tinggalkan komen anda