
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 12 Jun (MalaysiaAktif) – Seramai 40 peserta bakal menyahut cabaran sengit dalam kejohanan Labuan Super Novice 4×4 Challenge 2026 yang dijadualkan berlangsung di Trek Lasak Kiamsam, di sini selama tiga hari bermula hari ini.
Timbalan Pengerusi Kelab Pacuan Empat Roda Labuan Norazili Timpai berkata penganjuran edisi kedua ini menerima penyertaan hebat daripada pemandu sukan lasak dari Labuan, Sabah, Sarawak serta negara jiran, Brunei.
“Kejohanan kali ini bakal menguji mental dan fizikal peserta melalui tujuh Peringkat Khas (SS) yang menampilkan bentuk halangan berbeza.
“Kesemua peserta wajib menyelesaikan setiap cabaran yang ditetapkan bagi mengumpul markah maksimum untuk merebut gelaran juara keseluruhan,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Para tetamu jemputan dan peserta Labuan Super Novice 4×4 Challenge 2026.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail berkata kerajaan menerusi Perbadanan Labuan akan sentiasa memberikan sokongan padu terhadap program seumpama ini bagi memacu pertumbuhan industri pelancongan.
Tambahnya, kehadiran para peserta dan pengunjung sepanjang tiga hari kejohanan itu juga dijangka dapat merancakkan lagi aktiviti ekonomi domestik sekali gus memberi limpahan rezeki kepada para peniaga kecil tempatan.
-RI






