
Laporan/foto: Nur Imanina/Institut Darul Ridzuan
IPOH, 12 Jun (MalaysiaAktif) – Lima penyelidik daripada lima universiti tempatan menerima Geran Penerbitan Perak Sejahtera 2030 bernilai keseluruhan RM87,000 daripada Institut Darul Ridzuan (IDR) sempena Persidangan Dasar dan Penyelidikan Perak (PPRC) 2026.
Penyelidik dari Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) masing-masing membawa pulang RM17,400 bagi membiayai penyelidikan strategik merangkumi bidang transformasi digital, kelestarian alam, sekuriti makanan dan tadbir urus demi menyokong agenda pembangunan negeri Perak.
Menteri Besar Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata inisiatif itu bertujuan menggalakkan penghasilan kajian ilmiah berkualiti tinggi yang dapat memperkukuh pembangunan dasar kerajaan berasaskan bukti.

Pemenang Pertandingan Fotografi Perak Sejahtera 2030 menerima pengiktirafan atas karya yang menampilkan impak pembangunan negeri melalui tema “Perak Sejahtera: Hasil Dirasa”.
“Penganugerahan geran dan pengiktirafan ini mencerminkan komitmen IDR dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan negeri, di samping memperkaya naratif pembangunan melalui pendekatan berasaskan bukti,” katanya dalam satu kenyataan oleh IDR, kelmarin.
Saarani turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Poster Penyelidikan serta Pertandingan Fotografi Perak Sejahtera 2030 yang bertemakan “Perak Sejahtera: Hasil Dirasa” bagi menterjemahkan impak pembangunan negeri daripada perspektif rakyat.
Turut hadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
-RI





