
Laporan/foto: Salleh Immun/Tarmizi Karnain (Mukah)
MUKAH, 12 Jun (MalaysiaAktif) – Seramai 43 pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian telah menerima Insentif Pendidikan bagi membantu mereka melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi berkata daripada jumlah tersebut, 15 pelajar menerima insentif berkenaan dalam Majlis Penyampaian Insentif Pendidikan yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat DUN Balingian, hari ini.
Menurut beliau insentif pendidikan yang diberikan merupakan tanda penghargaan atas pencapaian akademik pelajar serta sokongan berterusan kepada generasi muda yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT.
“Secara keseluruhannya, seramai 43 orang penerima telah menerima Insentif Pendidikan yang disalurkan termasuk yang menerimanya pada hari ini dan bagi fasa seterusnya akan dilaksanakan kemudian nanti,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Abdul Yakub berkata bantuan tersebut bukan sahaja mengiktiraf pencapaian akademik pelajar, malah menjadi pemangkin untuk mereka terus berusaha mencapai kejayaan yang lebih tinggi.
“Pendidikan merupakan aset paling berharga yang boleh mengubah kehidupan seseorang. Oleh itu, saya berharap para pelajar memanfaatkan peluang yang ada dengan sebaik-baiknya dan terus berusaha menjadi individu yang berpengetahuan serta mempunyai nilai kepimpinan yang tinggi,” katanya.
Beliau turut berharap bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban kewangan keluarga dalam menampung kos pengajian, selain menjadi motivasi kepada pelajar untuk terus mengekalkan kecemerlangan akademik dan sahsiah diri.
Pada masa sama, beliau menyeru para pelajar agar sentiasa menjaga nama baik keluarga dan kawasan Balingian serta kembali menyumbang ilmu dan kepakaran kepada masyarakat serta pembangunan Sarawak setelah menamatkan pengajian kelak.
-RJ-




