
Laporan/foto: Affifa Aroff/Salina Sabi’is (Perak Tengah)
KAMPUNG GAJAH, 12 Jun (MalaysiaAktif) – Batik Perak terus mendapat perhatian sebagai produk kraf warisan negeri yang berpotensi untuk dipasarkan ke peringkat lebih luas termasuk pasaran antarabangsa.
Pengusaha Batik Excellent Craft Noazah Ahmad Tahir berkata beliau telah mengusahakan perniagaan batik bersama rakannya, Norfaizah Abdul Mutalib sejak 10 tahun lalu di Kampung Selat Pulau, Kampung Gajah.
Beliau berkata keistimewaan Batik Perak terletak pada penggunaan teknik batik tanah liat yang menjadi identiti negeri ini dengan motif bunga kelumpang sebagai corak rasmi Batik Perak.
“Setiap rekaan dan kombinasi warna dihasilkan mengikut permintaan pelanggan serta memerlukan tahap kreativiti yang tinggi dalam penghasilan motif.
“Proses menghasilkan sehelai batik mengambil masa kira-kira sehari bermula daripada penyediaan kain putih, lakaran corak, pewarnaan dan proses penetapan warna bagi memastikan hasil yang berkualiti serta tahan lama,” katanya kepada Malaysia Aktif baru-baru ini.
Beliau yang mendapat latihan di Institut Kraf Negara (IKN), berkata Batik Excellent Craft turut menerima tempahan daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk tempahan khas pakaian oleh Menteri Besar Perak, selain kerap dijemput menyertai pameran dan program rasmi di peringkat negeri.
Menurut beliau, tempahan kebiasaannya mengambil masa antara satu hingga dua minggu bergantung pada jumlah serta jenis rekaan yang diminta pelanggan dan harga kain batik bermula daripada RM150 hingga RM280.
Beliau berharap lebih ramai golongan muda menceburi bidang kraf batik bagi memastikan warisan seni tradisional ini terus berkembang dan kekal menjadi kebanggaan negeri Perak.
-FN




