Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPutrajaya

Lawatan Rasmi PM Anwar Ke Jepun Capai Pelbagai Hasil Strategik

By 4 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Azza Aziz

PUTRAJAYA, 12 Jun (MalaysiaAktif) – Lawatan rasmi Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Jepun yang berakhir semalam disifatkan berjaya memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun menerusi pelbagai kerjasama strategik dalam bidang ekonomi, teknologi, pelaburan serta pendidikan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata lawatan tersebut bukan sahaja mengeratkan hubungan diplomatik Malaysia-Jepun, malah membawa hasil yang signifikan apabila beberapa bidang kerjasama strategik antara Malaysia dan Jepun berjaya diperkukuh.

“Ini merupakan satu lawatan rasmi yang cukup berjaya bukan sahaja dari segi mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara, tetapi turut menyaksikan beberapa bidang kerjasama diperkukuh termasuk perjanjian-perjanjian yang dimuktamadkan,” katanya pada Sidang Media Jurucakap Kerajaan, di sini hari ini.

Antara pencapaian utama lawatan tersebut ialah pemuktamadan perjanjian jual beli gas asli cecair (LNG) jangka panjang antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan JERA Co., Inc. yang akan bermula pada tahun 2028.

Selain sektor tenaga, perbincangan sepanjang lawatan turut melibatkan bidang berimpak tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, teknologi digital, mineral kritikal serta usaha memperkukuh rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan.

Kerajaan juga katanya turut memberi perhatian terhadap hubungan antara pelabur Malaysia dan Jepun bagi memperluas peluang pelaburan serta kerjasama industri pada masa hadapan.

Dalam bidang pendidikan dan penyelidikan, Perdana Menteri turut menekankan kepentingan mempererat hubungan antara institusi pengajian tinggi awam (IPTA) Malaysia dengan universiti di Jepun, khususnya dalam bidang penyelidikan kuantum.

“Dalam beberapa bidang hubungan antara institusi-institusi di Malaysia, khususnya IPTA dengan institusi pengajian tinggi di Jepun perlu dipererat termasuk dalam bidang Quantum Research yang amat penting dalam usaha menggunakan teknologi Quantum Cryptology dan Quantum Encryption,” katanya.

Sehubungan itu, usaha kerjasama antara universiti tempatan dengan universiti di Jepun akan dipertingkat, selain menggalakkan lebih banyak institusi pengajian tinggi menjalinkan hubungan strategik dalam bidang penyelidikan dan inovasi.

-FN

Tinggalkan komen anda