
Laporan/foto: Akmar Zulkifli/Sh.Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 13 Jun (MalaysiaAktif) – Festival Layang-Layang Antarabangsa Kuantan (KITE 4.0) dan Cherating Wind and Ocean Wave 2026 (WOW 26) anjuran bersama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Majlis Pelayang Malaysia (MPM) akan berlangsung di Cherating dari 1 hingga 6 Julai ini dengan pelbagai pengisian acara yang dijangka mampu menarik seramai 20,000 sasaran pengunjung.
Datuk Bandar Kuantan, Datuk Zaliza Zulkipli, berkata penganjuran kali keempat festival ini dibawa ke Cherating selepas tiga edisi terdahulu di Pantai Sepat mendapat sambutan menggalakkan.
Menurut Zaliza, pemilihan Cherating dibuat bagi memperluaskan capaian pengunjung termasuk dari Terengganu serta menyokong usaha memperkasakan semula pantai peranginan tersebut sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.
“Cherating mempunyai kemudahan pelancongan yang baik dengan 25 hotel dan chalet berkapasiti kira-kira 1,000 bilik selain pelbagai produk pelancongan berasaskan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media penganjuran KITE 4.0 dan WOW 26 di Kompleks Bandaraya Kuantan, di sini semalam.
Menurut Zaliza, KITE 4.0 kali ini bakal disertai 66 pelayang dari 17 negara termasuk Sweden, Poland, Tunisia, Jepun dan India yang akan mempersembahkan pelbagai jenis layang-layang gergasi, termasuk layang-layang LED bercahaya pada waktu malam.
Selain pertunjukan layang-layang, festival berkenaan turut menampilkan 42 gerai jualan makanan dan cenderamata, bengkel serta pameran wau tradisional, di samping persembahan kebudayaan.
Sementara itu, WOW 26 yang mengetengahkan elemen sukan air pula akan menampilkan aktiviti seperti Paddle Up dan demonstrasi Kite Surfing, selaras dengan identiti Cherating sebagai destinasi luncur ombak terkenal.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan festival berkenaan, khususnya pada 4 Julai sempena majlis perasmian yang akan diserikan dengan keberangkatan Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.
-AA-






