Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

1.88 Juta Rakyat Malaysia Terima Manfaat daripada Inisiatif mySalam

By 1 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rahman Ishak/Facebook Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 12 Jun (MalaysiaAktif) – Seramai 1.88 juta rakyat Malaysia telah menerima manfaat daripada inisiatif perlindungan takaful kesihatan percuma program Skim Perlindungan Takaful B40 (mySalam) sejak dilancarkan secara rasmi oleh kerajaan pada 2019.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata program mySalam yang dimulakan dengan dana sebanyak RM2.37 bilion, menyediakan perlindungan kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta pasangan sehingga berusia 65 tahun, layak mendapat tiga bentuk manfaat.

“Pertama, hospitalisasi sebanyak RM50 sehari bagi maksimum tempoh 14 hari atau maksimum RM700 setahun. Kedua, sumbangan ataupun bantuan berjumlah sehingga RM8,000 secara one-off (sekali beri) bagi penerima yang mengalami 50 penyakit kritikal yang telah disenaraikan.

“Dan ketiga, tuntutan kos peranti perubatan maksimum sehingga RM30,000,” katanya pada Sidang Media Jurucakap Kerajaan, di sini hari ini.

Fahmi berkata sejak 2019 sehingga 31 Disember 2025 jumlah tuntutan dibayar ialah sebanyak RM1.423 bilion.

“Bagi manfaat hospitalisasi, seramai 1.294 juta penerima telah menerima manfaat dan jumlah yang telah disampaikan kepada mereka berjumlah RM394.87 juta.

“Bagi penyakit kritikal, seramai 89,085 orang penerima telah mendapat manfaat dari program mySalam dengan jumlah sebanyak RM712,680,000. Dan yang terakhir bagi peranti perubatan, seramai 13,128 orang penerima telah mendapat manfaat daripada program mySalam dengan jumlah RM65.257 juta,” katanya.

mySalam merupakan Skim Perlindungan Takaful percuma yang dikelolakan oleh Kementerian Kewangan Malaysia melalui Tabung Amanah mySalam dan diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Great Eastern Takaful Berhad.

Skim Perlindungan Takaful B40 mySalam pada awalnya dirangka untuk beroperasi selama lima tahun dari tahun 2019 sehingga 2023, namun pihak kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan skim tersebut sehingga tahun 2026 susulan maklum balas rakyat Malaysia yang memberansangkan.

-FN

Tinggalkan komen anda