
Laporan/foto: Rose Ryqal/MPKL (Kuala Langat)
KUALA LANGAT, 15 Jun (MalaysiaAktif) – Program Bubble Brisk Walk yang berlangsung di Pantai Kelanang pada Sabtu lalu mendapat sambutan menggalakkan apabila berjaya menghimpunkan kira-kira 300 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Program yang bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mental itu disempurnakan Pegawai Daerah Kuala Langat Tengku Rohana Tengku Nawawi bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat Mohd Hasry Nor Mohd.
Para peserta berpeluang menikmati suasana pantai yang mendamaikan sambil menyertai aktiviti berjalan kaki bersama gelembung sabun sekali gus mewujudkan persekitaran yang ceria dan positif.
Aktiviti seumpama ini bukan sahaja membantu meningkatkan kecergasan fizikal malah dapat mengurangkan tekanan serta memberikan ketenangan minda.

Pelepasan oleh Pegawai Daerah Kuala Langat bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat Mohd Hasry Nor Mohd serta tetamu jemputan yang lain.
Menurut salah seorang peserta Zuraidah Omar, 42, beliau teruja menyertai program Bubble Brisk Walk kerana memberikan pelbagai manfaat kepada masyarakat.
“Program ini sangat baik kerana turut mengeratkan hubungan kekeluargaan dan cara hidup sihat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Mawar Qaseh Peduli selaku penganjur program Nur Zairina Muzaini, berkata program Bubble Brisk Walk berjaya dilaksanakan dalam suasana penuh keceriaan dan menerima sambutan yang amat memberangsangkan daripada masyarakat setempat.
“Saya berharap program ini dapat terus memupuk gaya hidup sihat, mengeratkan hubungan kekeluargaan, menyemai semangat komuniti dan mewujudkan rasa bahagia dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Program Bubble Brisk Walk merupakan acara sampingan bagi Program Hari Rendah Karbon @ Kuala Langat bersempena Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Selangor Tahun 2026.
-RI





