Skip to main content
Berita TempatanSabah

 Syarikat Pengangkutan Digesa Segera Daftar SKDS- Armizan

By 3 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Hamidah Len/Dexter Cysonned (Sabah)

KOTA KINABALU, 15  Jun (MalaysiaAktif)– Syarikat pengangkutan darat barangan dan awam di Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan digesa segera mendaftar di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Pendaftaran SKDS membolehkan syarikat berkelayakan menikmati subsidi diesel menerusi mekanisme fleet card pada kadar RM2.15 seliter bagi sektor pengangkutan darat barangan dan RM1.88 seliter bagi sektor pengangkutan darat awam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata permohonan menyertai SKDS bagi sektor pengangkutan darat barangan diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula 4 Mei lalu.

“Pada dua bulan pertama 2026 sebelum tercetusnya konflik, subsidi diesel yang dibelanjakan bagi Sabah dan Sarawak ialah RM103 juta pada Januari dan RM106 juta pada Februari.

“Bagaimanapun, sejak konflik bermula pada 28 Februari 2026 implikasi subsidi diesel bagi kedua-dua wilayah meningkat kepada RM563 juta pada Mac dan RM647 juta pada April.

“Jumlah keseluruhan subsidi diesel bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini mencecah RM1.4 bilion,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Fleet Card SmartPay PETRONAS di Kepayan, hari ini.

Menurut Armizan, sebanyak 33 kategori kenderaan layak didaftarkan di bawah SKDS untuk menerima subsidi diesel manakala maklumat lanjut mengenai permohonan boleh diperoleh menerusi portal MySubsidi.

“Perluasan SKDS merupakan pendekatan kerajaan bagi menangani ketirisan subsidi diesel melalui mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan secara digital.

“Setakat 14 Jun 2026, sebanyak 8,060 syarikat melibatkan 29,631 kenderaan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan telah berdaftar di bawah SKDS

“Kerajaan akan terus menanggung lonjakan bil subsidi bahan api ini selagi mana harga minyak dunia masih pada tahap yang tinggi dan krisis tenaga berlarutan,” ujarnya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Dagangan Berhad, Azrul Osman Rani; Pengurus Besar Kanan Perhubungan Strategik, Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Khairuddin Jaafar; serta Pengurus Besar Pejabat PETRONAS Wilayah Sabah dan Labuan, Datuk Siti Ayu Abd Wahab.

-RJ-

Tinggalkan komen anda