
Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin/Mohd Suhaizad Abdul Samad (Pekan)
PEKAN, 15 Jun (MalaysiaAktif) – Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Khas Kawasan (RKK) Tanjung Batu Pekan menjadi platform penting dalam memperkukuh perancangan pembangunan setempat menerusi penglibatan aktif komuniti dalam menentukan hala tuju pembangunan kawasan secara lebih terancang, mampan dan inklusif.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Pahang Datuk Mohd Fakharuddin Mohd Arif berkata penyediaan RKK Tanjung Batu ini merupakan satu langkah strategik memastikan pembangunan kawasan dapat dilaksanakan secara terancang, mampan dan memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Program publisiti dan penyertaan awam ini amat penting kerana ia memberi ruang kepada rakyat untuk memahami serta memberi pandangan terhadap perancangan pembangunan yang bakal dilaksanakan di kawasan mereka.
“Penglibatan komuniti dalam proses perancangan ini mampu memperkukuhkan lagi keberkesanan pelaksanaan projek serta memastikan keperluan sebenar penduduk diambil kira,” katanya.

Sebahagian tetamu yang hadir memeriahkan program.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian program tersebut di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini yang turut dihadiri pemimpin masyarakat, ketua-ketua jabatan serta penduduk sekitar kawasan Tanjung Batu.
Sepanjang program berlangsung, pengunjung berpeluang meneliti pelan cadangan pembangunan yang dipamerkan serta mendapatkan penerangan terperinci daripada pegawai perancang bandar dan desa yang terlibat dalam penyediaan RKK tersebut.
Sementara itu, seorang penduduk, Mohd Hafiz Ramli, 38, menyambut baik usaha kerajaan dalam menyediakan pelan pembangunan yang lebih tersusun bagi kawasan Tanjung Batu.
“Saya rasa perancangan ini sangat baik kerana ia bukan sahaja memberi fokus kepada pembangunan fizikal, tetapi turut mengambil kira aspek kesejahteraan penduduk dan alam sekitar. Ini penting untuk generasi akan datang,” ujarnya.
Program ini turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan kerjasama antara agensi pelaksana dan masyarakat setempat ke arah merealisasikan pembangunan yang berdaya saing, mampan dan memenuhi aspirasi rakyat.
-RI





