
Laporan/foto: Salehuddin Klewan/Norazura Abdul Latif (Hulu Langat)
AMPANG, 15 Jun (MalaysiaAktif) – Pertandingan Mobile Legends di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Taman Mulia Jaya, di sini semalam diadakan sebagai usaha menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti komuniti berteraskan teknologi digital dan e-sukan.
Pengerusi Komuniti MADANI Ampang Cakna, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos berkata pertandingan tersebut merupakan antara pengisian program tahunan yang dirancang oleh pertubuhan itu bagi mendekati komuniti setempat khususnya golongan belia.
Beliau berkata persepsi bahawa permainan video hanya membuang masa sudah tidak lagi relevan dalam konteks dunia digital masa kini kerana industri e-sukan telah berkembang menjadi satu bidang yang menawarkan peluang kerjaya, pendapatan lumayan serta ruang untuk mewakili negara di peringkat antarabangsa.
“Pertandingan ini merupakan salah satu daripada pelbagai aktiviti yang dirancang sepanjang tahun oleh Komuniti MADANI Ampang Cakna bagi menggalakkan penyertaan aktif belia dalam program komuniti serta memanfaatkan teknologi digital secara positif,” katanya ketika ditemui pada program tersebut, di sini semalam.
Menurut beliau, permainan seperti Mobile Legends turut membantu membentuk pelbagai kemahiran insaniah yang diperlukan dalam kehidupan seharian dan alam pekerjaan.
“Melalui permainan ini, pemain belajar bekerja dalam satu pasukan, berkomunikasi dengan berkesan, membuat keputusan dalam tempoh yang singkat, menyusun strategi dan menerima kekalahan dengan matang sebelum bangkit semula. Semua ini merupakan kemahiran yang amat penting dalam dunia sebenar,” katanya.

Para peserta pertandingan menyanyikan lagu Negaraku dengan penuh semangat sebelum pertandingan dimulakan.
Program anjuran Komuniti MADANI Ampang Cakna dari jam 10 pagi hingga 4 petang itu berjaya menghimpunkan seramai 35 orang belia dari sekitar Ampang yang berentap dalam pertandingan permainan dalam talian yang semakin popular dalam kalangan generasi muda itu.
Sementara itu, seorang peserta Saipulbehri Suryadi, 22, berkata program seumpama itu memberi peluang kepada belia untuk mengembangkan minat mereka dalam suasana yang sihat dan terkawal.
“Ramai menganggap bermain permainan video hanya sekadar hiburan, tetapi sebenarnya banyak nilai positif yang boleh dipelajari. Saya dapat belajar cara berkomunikasi dengan rakan sepasukan dan mengurus tekanan ketika pertandingan berlangsung,” katanya.
-RI





