
Laporan/foto: Loseyeffer Molly (Bau)/Pergerakan Wanita Tasik Biru
BAU, 15 Jun (MalaysiaAktif) – Pertandingan Bola Tampar Wanita Terbuka N2 Tasik Biru Piala Datuk Henry Harry Jinep terus memainkan peranan sebagai platform mencungkil bakat baharu atlet wanita menerusi penyertaan menggalakkan pasukan dari kawasan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru.
Kejohanan bermula 13 Jun hingga semalam di Dewan Ngibodang Sirabu, Kampung Segong Singai itu menghimpunkan lapan pasukan wanita yang bersaing dalam suasana penuh semangat kesukanan.
Henry berkata sambutan menggalakkan yang diterima membuktikan minat masyarakat terhadap sukan bola tampar terus berkembang, khususnya dalam kalangan wanita yang semakin aktif melibatkan diri dalam aktiviti sukan.
“Penganjuran kejohanan ini bukan sekadar pertandingan sukan, tetapi menjadi wadah untuk mencungkil bakat wanita dalam bidang sukan, menggalakkan gaya hidup sihat serta memperkukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat di kawasan Tasik Biru.
“Kejohanan seperti ini wajar diteruskan kerana ia bukan sekadar platform pertandingan, tetapi menjadi medium untuk mencungkil bakat baharu, memupuk disiplin diri serta membina semangat kerjasama dalam kalangan peserta,” katanya.
Dalam persaingan yang sengit, pasukan Kawasan Musi/Buso muncul sebagai johan kejohanan, diikuti pasukan Kawasan Bratak sebagai naib johan, manakala pasukan Kawasan Adis menduduki tempat ketiga.
Penganjuran kejohanan itu diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform pembangunan bakat sukan wanita serta melahirkan lebih ramai atlet berpotensi di kawasan Tasik Biru.
-RJ-





