Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

PPDTS Fasa 1 Dilancar, Lebih RM140 juta Manfaat Rakyat Selangor

By 2 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)

SHAH ALAM, 15 Jun (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Selangor melancarkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor (PPDTS) Fasa 1 bagi memperkukuh ekonomi negeri susulan ketidaktentuan global dan konflik Timur Tengah.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata pakej berkenaan dirangka hasil sesi libat urus bersama pakar sosioekonomi, geopolitik, industri dan tenaga sejak April lalu.

Menurutnya, lebih RM140 juta diperuntukkan bagi melaksanakan tujuh inisiatif yang disasarkan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat serta sektor ekonomi negeri.

“Kesemua inisiatif ini bukan sahaja bertujuan meringankan beban rakyat pada masa ini, malah menjadi asas kepada pembinaan daya tahan ekonomi, keselamatan makanan dan kesejahteraan rakyat Selangor dalam jangka panjang,” katanya ketika merasmikan PPDTS Fasa 1 di sini hari ini.

Antara inisiatif diperkenalkan ialah Jelajah Ehsan Rahmah dengan peruntukan RM10 juta bagi menawarkan jualan makanan asas pada harga berpatutan di seluruh Selangor.

Beliau berkata Baucar Kita Selangor pula menyediakan bantuan RM100 sebulan kepada 50,000 keluarga selama enam bulan bagi membantu menangani peningkatan kos sara hidup.

Menurutnya, kerajaan negeri turut menawarkan subsidi tambang pengangkutan awam RM30 sebulan kepada 50,000 pengguna aplikasi Nine selain memperluaskan kemudahan itu kepada mod lain pada fasa berikutnya.

Bagi mengurangkan beban ibu bapa, program sarapan percuma akan memanfaatkan 120,000 pelajar di 965 sekolah, manakala RM25 juta disalurkan kepada sektor pertanian.

Dalam masa sama, RM6 juta diperuntukkan bagi Jualan Rumpun Selangor dan RM50 juta lagi untuk mewujudkan Gudang Makanan Selangor sehingga tahun 2030.

“Cabaran yang mendatang menuntut kita sentiasa bersedia dan berpandangan jauh. Saya yakin Selangor akan terus kekal sebagai negeri yang maju, berdaya tahan dan sejahtera untuk semua,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda