
Laporan/foto: Lyana Athirah/M Sures (Kota Setar)
ALOR SETAR, 15 Jun (MalaysiaAktif) – Pendidikan Tingkatan Enam telah melalui transformasi besar dan semakin diiktiraf sebagai laluan utama pendidikan negara.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) Dato’ Wan Hashim Wan Rahim berkata program tersebut bukan lagi dianggap sebagai pilihan kedua sebaliknya menyediakan pendidikan berkualiti tinggi.
“…dengan kos amat berpatutan serta diiktiraf di peringkat antarabangsa melalui Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kolej Tingkatan Enam Alor Setar (KTEAS) di Dewan Bitara KTEAS, di sini semalam.
Beliau berkata perubahan yang dilaksanakan dalam sistem Tingkatan Enam membuktikan komitmen KPM untuk menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada pelajar, sekali gus melahirkan modal insan yang berdaya saing dan berpengetahuan.
Sementara itu, beliau berkata taklimat buli siber oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Daerah Kota Setar yang merupakan antara pengisian utama program mencerminkan usaha berterusan pelbagai agensi dalam memperkukuh literasi digital dalam kalangan pelajar.
Inisiatif itu katanya bukan sahaja meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan siber, malah membantu membentuk generasi muda yang lebih bertanggungjawab, beretika dan bijak menggunakan teknologi dalam kehidupan seharian.
-FN





