
Laporan/foto: Salleh Immun/Ambrose Wennanddo (Mukah)
MUKAH, 15 Jun (MalaysiaAktif) – Mukah dipilih sebagai tuan rumah Fiesta Rakan Muda Peringkat Sarawak 2026 yang akan berlangsung pada 27 hingga 28 Jun ini di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak Kampus Mukah.
Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak Hafizah Dahlan berkata pemilihan Mukah sebagai lokasi penganjuran mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan belia dilaksanakan secara inklusif.
“Fiesta Rakan Muda bukan sekadar program hiburan atau rekreasi, sebaliknya menjadi platform yang memberi peluang kepada belia untuk mengembangkan potensi diri, meningkatkan kemahiran serta memperkukuhkan jaringan kerjasama dalam komuniti.
“Kerjasama yang terjalin antara pelbagai agensi dan organisasi akan membolehkan lebih banyak program bermanfaat ditawarkan kepada peserta serta memberi impak positif kepada pembangunan belia di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena sesi persiapan program tersebut yang dijangka menghimpunkan belia dari seluruh Sarawak menerusi pelbagai aktiviti berteraskan pembangunan sahsiah dan kemahiran, di sini hari ini.
Beliau berkata fiesta kali ini akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan 10 Gaya Hidup Rakan Muda termasuk Rakan Aktif, Rakan Bumi, Rakan Demokrasi, Rakan Digital dan Rakan Ekspresi.
-RJ-





