Skip to main content
Berita TempatanSabah

Pengalaman Kerja Kini Tiket Ke Menara Gading

By 5 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Hamidah Len(Sabah)

KOTA KINABALU, 15 Jun (MalaysiaAktif)– Penjawat awam berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi berasaskan pengalaman kerja menerusi program Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL.Q) dengan pembiayaan yuran pengajian oleh kerajaan sehingga RM15,000.

Ketua Penolong Pengarah, Program Pengurusan Kualiti, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Norashikin Ismail berkata APEL.Q membolehkan pengalaman kerja penjawat awam diiktiraf sebagai kelayakan untuk menyambung pengajian, selain INTAN bertindak sebagai penyelaras kepada penjawat awam melalui jalinan kerjasama dengan universiti-universiti yang menawarkan program APEL.Q.

“Kerajaan melalui INTAN, Jabatan Perkhidmatan Awam menyediakan pembiayaan yuran pengajian sehingga 50 peratus atau maksimum RM15,000 kepada penjawat awam yang layak.

“Sekiranya yuran pengajian berjumlah RM30,000 kerajaan akan menanggung sehingga RM15,000 manakala bagi yuran RM20,000 pembiayaan adalah 50 peratus,” katanya ketika ditemui di reruai pameran APEL.Q di INTAN Kampus Sabah (INSABAH), baru-baru ini.

Beliau berkata, permohonan APEL.Q boleh dibuat melalui portal INTAN sebelum disemak oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berdasarkan pengalaman kerja serta program yang dipilih.

“Selepas lulus saringan MQA, pemohon boleh memohon pembiayaan INTAN. Proses kelulusan boleh diselesaikan dalam tempoh lebih kurang tujuh hari sekiranya dokumen lengkap,” ujarnya.

Menurutnya, APEL.Q menawarkan tempoh pengajian lebih fleksibel berbanding kaedah konvensional kerana penilaian dibuat berdasarkan pengalaman kerja.

“Program ini tidak bergantung kepada sistem semester biasa. Peserta melalui empat peringkat penilaian dan tempoh pengajian bergantung kepada pencapaian calon dalam menyelesaikan setiap peringkat penilaian tersebut,” jelasnya.

Setakat ini 382 penjawat awam menerima manfaat program tersebut dalam pelbagai bidang.

Sementara itu, Ketua Unit Latihan Pasca Perkhidmatan INTAN, Dr Ahmad Zafwan Sulaiman berkata beliau berjaya menamatkan pengajian doktor falsafah dalam tempoh kira-kira 18 bulan melalui program APEL.Q.

“Pengalaman kerja yang dimiliki memenuhi keperluan akademik tanpa perlu melalui keseluruhan laluan pengajian konvensional.

“APEL.Q menjimatkan masa dan mengurangkan kos pengajian melalui pembiayaan kerajaan dan kerjasama universiti,” jelasnya yang melanjutkan pengajian Ijazah Kedoktoran Pentadbiran Perniagaan di City University.

-RJ-

Tinggalkan komen anda