Skip to main content
Berita TempatanSabah

Kelas Perintis Pengajian Al-Quran dan Braille Pedalaman Sabah Bermula di Keningau

By 25 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ainah Liman (Keningau)

KENINGAU, 15 Jun (MalaysiaAktif)– Usaha murni bagi membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan mendekati Al-Quran mula dilaksanakan di Keningau menerusi penganjuran Kelas Pengajian Al-Quran dan Braille.

Sebagai projek rintis seumpamanya di kawasan pedalaman Sabah, program ini dijayakan dengan kerjasama antara Jabatan Oftalmologi Hospital Keningau, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dan Yayasan Maghfirah dan Masjid Al-Taqwa Keningau.

Pakar Mata Jabatan Oftalmologi Hospital Keningau Dr Mohd Fariz Mohd Ali berkata, program ini memberki peluang kepada peserta mempelajari asas bacaan Al-Quran menggunakan tulisan Braille dalam suasana yang mesra dan kondusif.

“Selain meningkatkan kemahiran membaca Al-Quran, kelas ini juga bertujuan menyemai nilai-nilai rohani serta mengukuhkan hubungan peserta dengan ajaran Islam yang mana setiap rakan kerjasama memainkan peranan penting dalam menjayakan inisiatif ini.

“Jabatan Oftalmologi Hospital Keningau pula membantu mengenal pasti peserta yang sesuai, manakala PERTIS menyediakan tenaga pengajar berpengalaman dalam pengajian Al-Quran Braille.

“Sementara Yayasan Maghfirah pula menyumbangkan bahan pembelajaran seperti Iqra Braille dan Al-Quran Braille, sementara Masjid Al-Taqwa Keningau menyediakan lokasi pembelajaran,” ujarnya semasa Majlis Pelancaran Kelas Sahabat Al-Quran dan Braille PERTIS Negeri Sabah di sini semalam.

Terdahulu majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Pengerusi PERTIS Wilayah Sabah, Yusran Bakran itu turut menawarkan pemeriksaan mata EYECARE4U secara percuma kepada orang ramai, sesi tazkirah serta pameran kesedaran berkaitan penjagaan kesihatan dan pendidikan inklusif.

Untuk makluman, Kelas Pengajian Al-Quran dan Braille itu akan dijalankan secara berkala pada setiap hujung minggu iaitu dengan kekerapan empat kali sebulan bermula 14 Jun 2026.

-RJ-

Tinggalkan komen anda