Skip to main content
Berita TempatanSarawak

TVET Tawar Akses Pendidikan Menerusi 36 Politeknik, 106 KK Seluruh Negara

By 4 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Roszilawati Nor Aziz (Sarawak)/KKKG

KUCHING, 23 Jun (MalaysiaAktif) – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini dikenali menerusi jenama Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) menawarkan akses pendidikan yang lebih meluas melalui rangkaian 36 politeknik dan 106 kolej komuniti di seluruh negara.

Pengarah Bahagian Koordinasi TVET, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Zamzam Mohd. Walid berkata di Sarawak, peluang pendidikan TVET disediakan menerusi Politeknik Kuching Sarawak, Politeknik Mukah, Politeknik Metro Betong serta kolej komuniti di Kuching, Santubong, Mas Gading, Sarikei, Sibu, Miri dan Betong.

“Pendekatan ini membolehkan pelajar menguasai kemahiran sebenar yang diperlukan industri sehingga ada syarikat menawarkan pekerjaan sebelum pelajar menamatkan pengajian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan Lawatan Pemantauan Sesi Pendaftaran Pelajar Baharu Politeknik dan Kolej Komuniti Sesi I 2026/2027 di Kolej Komuniti Kuching (KKKG), di sini semalam.

Beliau berkata TVET menyediakan laluan akademik yang jelas di mana lepasan sijil kolej komuniti boleh menyambung pengajian ke peringkat diploma di politeknik melalui kemudahan pemindahan kredit.

“Malah, kualiti program POLYCC turut diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) dan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM).

“TVET akan terus menjadi pilihan utama generasi muda Sarawak kerana bukan sahaja melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, malah menyediakan laluan pendidikan serta pembangunan kerjaya yang berterusan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah KKKG, Sumbang Mandaw berkata keyakinan masyarakat terhadap pendidikan berasaskan kemahiran terus meningkat, dibuktikan menerusi kadar kebolehpasaran graduan KKKG yang memberangsangkan.

Menurut beliau, sebahagian besar pelajar menerima tawaran pekerjaan sejurus tamat menjalani Latihan Industri (LI), manakala selebihnya memilih untuk menyambung pengajian ke peringkat diploma.

-FN

Tinggalkan komen anda