
Laporan/foto: Zatul Iffah/Kubendiran (Kulim)
KULIM, 23 Jun (MalaysiaAktif) – Tanaman durian berpotensi besar untuk menjana ekonomi penduduk kampung menerusi penghasilan buah yang berkualiti tinggi dan mampu bersaing di pasaran, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri Chan Ming Kai.
“Tanaman durian mampu menjana ekonomi penduduk kampung melalui penghasilan buah yang berkualiti tinggi dan berdaya saing,” katanya mewakili Menteri Dalam Negeri Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Program Durian Bersama Komuniti Kampung Angkat Daerah Kulim di Kampung Baru Junjong, di sini kelmarin.
Beliau turut menggalakkan para pekebun agar terus meningkatkan mutu hasil tanaman bagi memperkukuhkan lagi industri durian tempatan serta membuka peluang pasaran yang lebih luas pada masa hadapan.
Program kali kedua anjuran Jabatan Pertanian dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Baru Junjong itu berjaya menghimpunkan pengusaha durian sekitar daerah ini dalam usaha mempromosikan industri durian tempatan dan memperkukuh ekonomi komuniti luar bandar.

Antara buah yang dipertandingkan dan mendapat perhatian juri dan orang ramai.
Antara pengisian utama program ialah Pertandingan Durian Terbaik yang mempertandingkan dua kategori utama, iaitu ‘black thorn’ (duri hitam) dan ‘musang king’ . Pertandingan tersebut memberi peluang kepada para pengusaha mempamerkan hasil durian terbaik masing-masing dengan pemenang tempat pertama bagi setiap kategori menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,000.
Sementara itu, Pengerusi JPKKP Kampung Baru Junjong, Lok Hean Hiong, 57, berkata program berkenaan bukan sahaja menjadi platform untuk mempromosikan hasil tanaman penduduk, malah berupaya mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat.
“Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pengusaha durian mempamerkan hasil terbaik mereka, malah dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat serta mewujudkan persaingan sihat untuk menghasilkan buah durian yang berkualiti,” katanya.
Hean Hiong berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperluaskan promosi industri durian tempatan serta membantu meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan komuniti luar bandar di daerah Kulim.
Penganjuran program yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat itu membuktikan komitmen pelbagai pihak dalam memperkasakan sektor pertanian tempatan, di samping menyemarakkan semangat kebersamaan masyarakat dalam membangunkan ekonomi komuniti melalui hasil pertanian berkualiti tinggi.
-RI





