
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 23 Jun (MalaysiaAktif) – Budaya merujuk kepada institusi yang bertanggungjawab dan mempunyai kepakaran perlu terus diperkasakan bagi memastikan keharmonian serta kesatuan masyarakat sentiasa terpelihara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata era digital kini menggesa masyarakat untuk lebih bijaksana menilai kesahihan sesuatu maklumat sebelum menerimanya atau menyebarkannya, khususnya berkaitan hal ehwal agama yang memerlukan rujukan kepada pihak berautoriti.
“Jangan terburu-buru membuat kesimpulan atau menetapkan hukum hanya berdasarkan petikan ringkas, pandangan di media sosial atau maklumat yang tidak jelas sumbernya.
“Budaya tabayyun dan merujuk kepada pihak yang bertanggungjawab perlu menjadi amalan supaya keharmonian masyarakat dapat terus dipelihara,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Sri Aman Tahun 1448H/2026M yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman, semalam.
Dayang Noorazah turut menegaskan bahawa al-Quran perlu terus dijadikan pedoman dalam membentuk masyarakat yang harmoni, beradab dan bersatu padu, selaras dengan aspirasi melahirkan ummah yang seimbang dari aspek pembangunan rohani dan jasmani.




