
Laporan/foto: Salleh Immun/Al Affiq Jul (Mukah)
MUKAH, 23 Jun (MalaysiaAktif) – Guru dan pembantu guru Tabika Perpaduan di Bahagian Mukah dipersiapkan untuk melaksanakan Kurikulum Prasekolah 2026 (KP2026) menerusi Bengkel Kurikulum Prasekolah 2026 yang berlangsung di Tabika Perpaduan Setiaraja 2, di sini semalam.
Bengkel tersebut menghimpunkan 10 peserta terdiri daripada lima guru dan lima pembantu guru Tabika Perpaduan bagi memperkukuh kefahaman serta kemahiran pendidik dalam melaksanakan kurikulum baharu pendidikan awal kanak-kanak.
Pegawai Perpaduan Bahagian Mukah, Mohammad Raffie Mohammad Isma berkata penganjuran bengkel itu bertujuan memperkukuh pengetahuan guru dan pembantu guru terhadap pelaksanaan kurikulum baharu yang bakal menjadi panduan utama dalam pendidikan prasekolah.
Menurutnya, bengkel tersebut turut memberi penekanan terhadap aspek perancangan pengajaran serta penyediaan aktiviti pembelajaran yang bersesuaian mengikut tahap perkembangan murid.
“Guru-guru perlu sentiasa bersedia dengan pendekatan pengajaran yang lebih kreatif dan berkesan bagi memastikan setiap murid mendapat pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan serta bermakna,” katanya ketika menyempurnakan majlis berkenaan.
Bengkel berkenaan dikendalikan oleh Jurulatih Utama Bahagian Mukah, Hazura Siri yang menyampaikan pendedahan, perkongsian ilmu serta panduan berkaitan pelaksanaan Kurikulum Prasekolah 2026 agar lebih tersusun, berkesan dan selaras dengan keperluan pendidikan semasa.
Penganjuran bengkel itu diharap menjadi pemangkin kepada peningkatan profesionalisme warga pendidik Tabika Perpaduan di Bahagian Mukah, sekali gus memperkukuh kualiti pendidikan prasekolah dan menyediakan asas pembelajaran yang kukuh kepada kanak-kanak bagi menyokong pembangunan modal insan negara.
-FN




