
Laporan/Foto: Mazlan Bakar/Mustapha Bacho(Nabawan)
NABAWAN, 24 Jun (MalaysiaAktif)-Pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Nabawan, Awang Malik Baki, dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Daerah Nabawan 1448H/2026M atas sumbangan berterusan dalam dakwah dan kebajikan masyarakat Islam luar bandar.
Beliau berkata, pengiktirafan itu menjadi amanah besar serta pemangkin semangat untuk terus mempergiatkan usaha menyantuni komuniti pedalaman melalui program dakwah, perkongsian ilmu dan ziarah.
“Anugerah ini menguatkan semangat saya dan rakan-rakan untuk terus bergerak lebih jauh dalam menyampaikan dakwah serta membantu masyarakat Islam di kawasan pedalaman.
“Pelbagai program akan terus dilaksanakan bagi memastikan masyarakat di kampung-kampung terpencil tidak terpinggir daripada arus pembangunan ummah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Nabawan 1448H/2026M di Dewan Terbuka Sekolah Agama Rakyat Al-Falah, Kampung Murni, semalam.
Anugerah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin.
Sementara itu, Abdul Ghani berkata peristiwa hijrah mengajar umat Islam tentang perubahan positif memerlukan usaha, perancangan dan kesungguhan berterusan.
“Kemajuan sesebuah masyarakat bermula daripada perubahan dalam diri setiap individu.
“Justeru, tahun baharu ini wajar dijadikan titik permulaan untuk memperbaiki akhlak, meningkatkan ilmu pengetahuan dan memperkukuh perpaduan demi kesejahteraan daerah Nabawan,” ujarnya.
Sambutan Maal Hijrah kali ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti termasuk ceramah khas, pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan bola sepak, bacaan Al-Quran serta gotong-royong perdana yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.
-RJ-




