
Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)/IPD Mukah
MUKAH, 24 Jun (MalaysiaAktif) – Tiada pengakuan direkodkan daripada dua kru kapal yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini atas pertuduhan memiliki dan terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah, hari ini.
Tertuduh pertama, seorang lelaki warga tempatan dan tertuduh kedua, lelaki warga asing dihadapkan di hadapan Majistret Oon Kork Chern sebelum mahkamah menetapkan 3 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia disiapkan.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata suspek pertama berusia 34 tahun dibenarkan untuk diikat jamin RM3,000, manakala suspek kedua berumur 32 tahun diperintah untuk ditahan di Penjara Sibu sehingga tarikh prosiding seterusnya.
“Polis pada semalam telah menahan kedua-dua tertuduh di Jalan Pasar Lama Mukah susulan penemuan satu paket plastik lut sinar yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu pada tertuduh pertama.
“Mereka bagaimanapun disahkan positif dadah hasil ujian saringan air kencing. Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
-FN




