Skip to main content
Berita TempatanSabah

Penerima STR Tanpa Akaun Bank Di Kunak Terima Bayaran Tunai

By 20 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Juhara Ali Omar (Kunak)

KUNAK, 24 Jun (MalaysiaAktif) – Seramai 188 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2026 yang tidak mempunyai akaun bank di daerah ini menerima bantuan secara tunai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Seri Dr Anil Shandu berkata program itu dilaksanakan bagi memastikan bantuan kerajaan dapat disalurkan terus kepada golongan sasar terutamanya penduduk kawasan pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan akaun bank.

“Kaedah pembayaran tunai melalui kaunter yang ditetapkan merupakan antara mekanisme rasmi kerajaan bagi memastikan penerima yang layak tidak tercicir daripada menerima bantuan.

“Kerajaan komited memastikan setiap penerima yang layak mendapat manfaat STR tanpa mengira lokasi atau kemudahan kewangan yang dimiliki.

“Bantuan STR merupakan inisiatif Kerajaan MADANI untuk membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya semasa Program Penunaian STR Penerima Tanpa Akaun Bank Pedalaman Sabah 2026, di Dewan Arena Belia Kunak, semalam.

Sementara itu penerima STR dari Kampung Singgahmata, Jamal Sahi, 66, melahirkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan yang memudahkan urusan penerima tanpa akaun bank menunaikan bantuan berkenaan.
“Atas faktor usia dan tiada akaun bank, kaedah pembayaran tunai ini amat membantu saya untuk menerima bantuan yang disalurkan kerajaan,” ujarnya.

STR 2026 ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memastikan bantuan kewangan sampai terus kepada penerima yang layak.

Di samping itu, Anil turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat iaitu Perbendaharaan Malaysia Sabah, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Tawau, Bank Simpanan Nasional Negeri Sabah Daerah Kunak, Pejabat Penerangan Daerah Kunak, RELA daerah Kunak dan Pejabat Daerah Kunak.

-RJ-

Tinggalkan komen anda