
Laporan/foto: Noor Haswan (Kelantan)
KOTA BHARU, 25 Jun 2026 (MalaysiaAktif) – Pelajar Kolej Komuniti Kok Lanas perlu sentiasa mengambil perhatian terhadap isu keselamatan siber dan etika penggunaan Internet.
Pengarahnya Mohd Nizat Abdul Kadir, berkata pelajar-pelajar mestilah menggunakan teknologi dan Internet secara berhemah.
“Telefon pintar di tangan kita ini, jika digunakan dengan cara yang baik, maka baiklah hasilnya,” jelasnya pada Forum Celik Digital: Guna Internet Secara Selamat dan Beretika yang berlangsung di Kolej Komuniti Kok Lanas, di sini semalam.

Penolong Pengarah, CMS JAPEN Kelantan Muhammad Aiman Alimin Sojak (kiri) bersama Muhammad Yatimin (tengah) dan Wan Nurul Ain (kanan).
Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Negeri Kelantan Wan Nurul Ain Wan Mohd Razali, berkata SKMM berperanan mengawal selia platform dalam talian.
“Kami bertindak membendung berita palsu, kandungan berunsur kebencian dan perkara yang menyalahi undang-undang,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) Muhammad Yatimin Abdullah turut menasihatkan pelajar agar mendapatkan maklumat sahih.
“Berita daripada media arus perdana telah ditapis dan menepati etika kewartawanan,” katanya.
Forum yang dilihat berkesan sebagai platform mendidik pelajar lebih bertanggungjawab dan beretika dalam penggunaan Internet sejajar cabaran dunia digital masa kini itu turut mengadakan sesi kuiz interaktif Kahoot! yang berjaya mencuri tumpuan pelajar dalam memahami isu keselamatan Internet dengan pendekatan santai dan menyeronokkan.
-RI




