
Laporan/foto: M Zakry Chan (Melaka)
ALOR GAJAH 25 Jun (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim memuji kecekapan dan komitmen penjawat awam negara yang menjadi antara faktor utama kejayaan Malaysia meningkatkan kedudukannya dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR).
Menurut beliau peningkatan prestasi negara itu membuktikan keberkesanan sistem pentadbiran serta keupayaan perkhidmatan awam dalam melaksanakan dasar kerajaan dengan cekap dan berkesan.
“Pencapaian tersebut turut mendapat perhatian dan pujian daripada Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov ketika lawatan beliau ke negara itu baru-baru ini.
“Prestasi kita dalam tempoh tiga setengah tahun ini bukan sebab Anwar menjadi Perdana Menteri, tetapi kerana sistem yang ada dan rakan-rakan dalam pasukan perkhidmatan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan amanat pada Sesi Santai Mesra YAB Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara Bersama Warga Perkhidmatan Awam Zon Selatan di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE), di sini semalam.
Penjawat awam, Safuan Seth, 35, berkata beliau amat menghargai keprihatinan dan komitmen Perdana Menteri dalam memperjuangkan kebajikan penjawat awam serta memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan kerajaan.
“Pelbagai inisiatif yang diperkenalkan kerajaan sejak kebelakangan ini membuktikan kesungguhan Perdana Menteri dalam memperkukuh perkhidmatan awam, di samping merancakkan pertumbuhan ekonomi negara dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Program seperti ini memberi ruang kepada penjawat awam untuk mendengar sendiri hala tuju kerajaan serta menyampaikan pandangan secara lebih dekat. Saya berharap usaha yang dilaksanakan kerajaan akan terus memberi manfaat kepada penjawat awam dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
-FN





