
Laporan/foto: Syuhada Yasin/Bashyar Abdullah (Pokok Sena)
ALOR SETAR, 25 Jun (MalaysiaAktif) – Sindiket penipuan siber dikesan semakin licik apabila memilih waktu strategik untuk memperdaya mangsa, termasuk melancarkan penipuan pada hari Ahad ketika institusi perbankan tidak beroperasi.
Perkara itu didedahkan Penolong Pengurus Cawangan Bank Rakyat Xcess Alor Setar, Khidzrul Nizam Mohd Khidir dalam satu taklimat kesedaran mengenai jenayah komunikasi dan penipuan siber yang berlangsung di sini hari ini.
Menurut beliau taktik tersebut digunakan bagi menyukarkan mangsa membuat semakan atau mendapatkan pengesahan terus daripada pihak bank sebelum mengambil tindakan.
“Keadaan itu memberi peluang kepada sindiket untuk menimbulkan rasa panik, takut atau terlalu teruja dalam kalangan mangsa sehingga mereka membuat keputusan secara terburu-buru tanpa mendapatkan pengesahan terlebih dahulu,” katanya.
Menurut Khidzrul, golongan warga emas dan penjawat awam yang baharu bersara dikenal pasti antara kumpulan yang paling kerap menjadi sasaran sindiket penipuan kerana mudah dipengaruhi melalui manipulasi emosi dan psikologi.
Beliau turut memaklumkan bahawa sindiket penipuan kini menyusup masuk ke dalam kumpulan sembang WhatsApp berteraskan keagamaan bagi memperdaya ahli kumpulan untuk membuat pemindahan wang kononnya bagi tujuan wakaf, sedekah dan tabung kebajikan.
Dalam taklimat tersebut, peserta turut diberi pendedahan mengenai kepentingan melindungi maklumat peribadi bagi mengelakkan ia disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Jangan sesekali overshare atau berkongsi maklumat peribadi dan aktiviti harian secara berlebihan di media sosial. Scammer sentiasa memerhati dan mereka boleh menggunakan maklumat tersebut sebagai modal untuk membina kepercayaan atau menakut-nakutkan kita,” katanya.
Khidzrul turut mengingatkan orang ramai supaya tidak berkongsi nombor TAC dengan mana-mana pihak dan segera menghubungi bank sekiranya menerima notifikasi transaksi yang tidak dilakukan.
-FN




