
Laporan/foto: Senaying Ahud/Jamri Romly (Hulu Perak)
HULU PERAK, 25 Jun (MalaysiaAktif) — Program Explorace Perak Sejahtera 2030 Daerah Hulu Perak 2026 menjadi medium mengetengahkan potensi pembangunan, pelancongan dan sumber semula jadi daerah itu dalam menyokong agenda Perak Sejahtera 2030.
Program anjuran Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Perak itu dirasmikan Orang Besar Jajahan Hulu Perak, Toh Muda Orang Kaya-Kaya Seri Adikaraja Shahbandar Muda, Dato’ Ar. La Meor Roslan Dato’ Seri Meor Ahmad Rashidi.
Dalam ucapannya, La Meor Roslan berkata usaha itu selaras dengan matlamat menjadikan Perak sebagai negeri yang maju, inklusif dan mampan melalui pemerkasaan potensi yang terdapat di setiap daerah.
“Pemilihan setiap lokasi checkpoint explorace dibuat berdasarkan tarikan utama daerah bagi mengetengahkan potensi, kekuatan dan keunikan sektor pembangunan di Hulu Perak termasuk sektor pertanian, pelancongan dan sumber semula jadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Explorace Perak Sejahtera 2030 Daerah Hulu Perak 2026 di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Hulu Perak, Norhasmaliana Ismail berkata program berkenaan merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri untuk memperkenalkan produk pelancongan dan ekonomi setempat yang melibatkan kawasan Lenggong, Gerik dan Pengkalan Hulu.
Katanya, pendekatan berasaskan explorace itu memberi peluang kepada peserta mengenali dengan lebih dekat tarikan serta potensi pembangunan yang terdapat di kawasan berkenaan.
Norhasmaliana berkata maklum balas yang memberangsangkan daripada peserta mencerminkan minat dan sokongan masyarakat terhadap usaha mempromosikan keunikan serta kekuatan daerah Hulu Perak.
-FN




