
Laporan/foto: Sarah Nur/Kolej Komuniti Sunga Siput (Perak)
SUNGAI SIPUT, 25 Jun (MalaysiaAktif) — Tiga belia Orang Asli dari Perkampungan Orang Asli Kuala Mu, di sini, memilih untuk melanjutkan pengajian dalam Program Sijil Teknologi Automotif di Kolej Komuniti Sungai Siput (KKSS) bagi Ambilan Sesi 1 2026/2027.
KKSS dalam kenyataan kelmarin memaklumkan ketiga-tiga belia berkenaan, Hisham Busu, Muhammad Fahrin Farhan Desmen dan Amirul Longbee, yang masing-masing berusia 18 tahun, mendaftar masuk selepas memilih bidang tersebut atas minat yang mendalam dalam servis dan penyelenggaraan kenderaan ringan.
Hisham berkata dia berharap dapat menguasai kemahiran membaiki kenderaan dengan baik sebelum meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“Saya bercita-cita untuk menyambung pengajian sehingga ke peringkat ijazah dan dalam masa yang sama ingin membantu keluarga serta masyarakat di kampung. Saya mahu mempunyai kemahiran membaiki kereta sendiri dan suatu hari nanti membuka bengkel di kampung,” katanya dalam kenyataan itu.
Sementara itu, Muhammad Fahrin Farhan pula berpendapat bidang automotif mempunyai prospek kerjaya yang luas selain faktor lokasi kolej yang hampir dengan kampung halamannya memudahkan dia untuk pulang pada hujung minggu.
-FN




