
Laporan/foto: Mohammad Amirul Dait (Kuala Penyu)
KUALA PENYU, 25 Jun (MalaysiaAktif)—Pelajar tingkatan enam diingatkan supaya memahami hak dan tanggungjawab sebagai pengundi serta melaksanakan peranan dalam proses demokrasi.
Pegawai Pengelola Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK) Daerah Kuala Penyu, Jailani Ag Damit berkata golongan muda perlu mengambil peluang menambah pengetahuan mengenai sistem demokrasi dan tanggungjawab sebagai warganegara.
“Pelajar tingkatan enam perlu memahami hak mereka sebagai pengundi dan melaksanakan tanggungjawab itu apabila layak mengundi kelak.
“Pelbagai program pembangunan belia yang disediakan kerajaan juga boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan potensi diri serta kemahiran kepimpinan dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat pada program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA)@Kelab Malaysiaku di SMK Pekan Kuala Penyu, semalam.
Pada masa sama, beliau menggalakkan pelajar yang aktif dalam bidang sukan meningkatkan prestasi masing-masing bagi membolehkan mereka dipertimbangkan mewakili Kuala Penyu pada temasya Sukan Sabah (SAGA) edisi akan datang.
Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dengan kerjasama KBSK Daerah Kuala Penyu dan SMK Pekan Kuala Penyu itu disertai kira-kira 100 pelajar aliran perdana dan tingkatan enam serta guru.
Sementara itu, Penolong Kanan Tingkatan Enam SMK Pekan Kuala Penyu, Sabtu Madan yang mewakili pengetua sekolah menzahirkan penghargaan kepada JaPen dan KBSK kerana membawakan pengisian yang bersesuaian dengan keperluan golongan belia.
“Maklumat dan ilmu yang dikongsikan menerusi program itu dapat dimanfaatkan pelajar khususnya di peringkat tingkatan enam sebagai persediaan melanjutkan pengajian dan berdepan kehidupan bermasyarakat,” ujarnya.
Dalam program sama, JaPen Daerah Kuala Penyu turut mengadakan bengkel Asas Pengacaraan Majlis yang disampaikan Penyelaras Kelab Malaysiaku Kuala Penyu, Mohamad Amirul Dait selain sesi Komunikasi Berkesan dan mini pameran kesedaran bahaya vape serta rokok.
Turut dipamerkan koleksi gambar nostalgia Kuala Penyu sekitar tahun 1962 hingga 1971.
-RJ-






