
Laporan/foto: Salleh Immun/Dominic Jimat (Mukah)
MUKAH, 25 Jun (MalaysiaAktif) – Warga kerja Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Bahagian Mukah diberi pendedahan mengenai kepentingan zakat pendapatan dan amalan wakaf menerusi program taklimat khas anjuran Tabung Baitulmal Mukah di Tabika Perpaduan Setiaraja, di sini semalam.
Program tersebut bertujuan meningkatkan kefahaman mengenai kewajipan menunaikan zakat pendapatan serta menggalakkan amalan wakaf sebagai bentuk ibadah dan sumbangan berkekalan kepada masyarakat.
Pegawai Tabung Baitulmal Mukah Yusuf Lai berkata zakat pendapatan merupakan instrumen ekonomi Islam yang penting bagi memenuhi tuntutan agama, membantu mengurangkan jurang sosial dan meningkatkan kesejahteraan komuniti.
“Melalui pembayaran zakat yang konsisten, lebih ramai golongan asnaf dapat dibantu, sekali gus memperkukuh agenda pembangunan ummah dan kesejahteraan komuniti secara menyeluruh,” katanya.
Selain zakat, Yusuf turut menjelaskan konsep wakaf sebagai amalan sedekah jariah yang memberi manfaat berpanjangan.
“Wakaf bukan hanya melibatkan tanah atau bangunan, malah boleh dilaksanakan melalui sumbangan tunai bagi menyokong pembangunan pendidikan, kebajikan, kesihatan dan kemasyarakatan,” ujarnya.
Beliau menerangkan kaedah pembayaran zakat pendapatan melalui potongan gaji bulanan bagi memudahkan penjawat awam menunaikan kewajipan secara sistematik dan teratur.
Pihak Tabung Baitulmal Mukah berharap program seumpama itu dapat melahirkan warga kerja yang prihatin terhadap tanggungjawab sosial melalui amalan berinfak dan kebajikan.
-RJ-






