
Laporan/Foto: Thian Ling Moi (Sarawak)/Nasionalfm
KUCHING, 26 Jun (MalaysiaAktif) – Pelaksanaan syarat pengesahan umur yang lebih ketat bagi pengguna media sosial berkuat kuasa 1 Jun lepas disambut baik orang ramai kerana mampu mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat untuk golongan bawah 16 tahun.
Di bawah peraturan baharu itu, platform media sosial diwajibkan melaksanakan proses pengesahan identiti seperti electronic Know Your Customer (eKYC) bagi memastikan pengguna memenuhi syarat umur sebelum membuka akaun baharu.
Penjawat awam, Muhammad Arfan Julaihi, 48, berkata pelaksanaan dasar itu dapat membantu memastikan kanak-kanak memberi tumpuan kepada pelajaran dan mengurangkan penggunaan media sosial secara berlebihan.
“Tanpa kawalan yang sewajarnya, golongan muda cenderung menghabiskan terlalu banyak masa melayari media sosial sehingga menjejaskan pengurusan masa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Arfan, pendedahan terlalu awal kepada platform digital boleh mempengaruhi perubahan tingkah laku anak-anak termasuk menjadi lebih sensitif dan mudah berubah emosi.
Seorang lagi penjawat awam, Liew Chong Vui, 55, turut menyokong langkah tersebut kerana percaya pengesahan umur yang lebih ketat dapat membantu mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat untuk kanak-kanak.
Pekerja swasta, Romlah Emang, 38, pula berpendapat syarat pengesahan umur itu mampu mengawal penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak sejak di bangku sekolah rendah.
“Ibu bapa dan penjaga perlu sentiasa memantau platform media sosial yang dilayari oleh anak-anak,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Romlah menegaskan penjaga tidak seharusnya membiarkan anak-anak menggunakan telefon bimbit secara bersendirian kecuali untuk tujuan pembelajaran.
Langkah baharu ini dilihat dapat memperkukuh peranan ibu bapa serta penyedia platform digital dalam memastikan penggunaan teknologi yang lebih beretika serta sesuai dengan perkembangan usia.
-RJ-




