
Laporan/foto: Rahman Ishak/Facebook Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA, 26 Jun (MalaysiaAktif) – Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) akan terus berusaha memperkukuh agenda pembangunan bumiputera negara, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata usaha itu merangkumi sumbangan kira-kira RM50 bilion setahun, termasuk RM49.2 bilion pada tahun lepas.
“Sumbangan ini meliputi pelaburan langsung, pelaburan vendor, pembangunan bakat dan pembangunan komuniti. Pencapaian ini turut diterjemah melalui perkembangan syarikat bumiputera dalam pasaran modal,” katanya pada sidang media mingguan di sini.
Fahmi berkata sebanyak empat buah syarikat majoriti milik bumiputera kini berada dalam saluran untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.
Menurutnya, sasaran 10 penyenaraian baharu bagi tempoh 2026-2027 telah ditetapkan mengatasi pencapaian sepanjang lima tahun sebelumnya.
“Bagi menyokong sasaran tersebut, program 10 Juara Bumiputera hasil kerjasama GLIC diperkenalkan untuk membimbing syarikat berpotensi tinggi serta melahirkan sepuluh syarikat Bumiputera bernilai RM500 juta setiap satu menjelang tahun 2028.
“Semestinya komitmen GLIC dan GLC turut diperkukuh melalui sasaran pelaburan langsung sebanyak RM2 bilion ke dalam syarikat bumiputera pada tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata lawatan rasmi Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Kazan, Rusia dan Ashgabat, Turkmenistan baru-baru ini telah berjaya menjamin bekalan bahan minyak mentah, gas dan diesel dalam tempoh jangka masa selama 20 tahun.
Fahmi berkata susulan berita baik itu Perdana Menteri telah mengumumkan penurunan harga diesel pada 21 Jun lepas.
-FN




