
Laporan/Foto: Barina Nani/Mohamad Farid Izwan/Wirwan Nor Rama (Sarawak)
TEBEDU, 30 Jun (MalaysiaAktif) – Setiap langkah kaki, hayunan tangan dan rentak muzik yang mengiringi tarian tradisional Bidayuh di Kampung Mujat bukan sekadar persembahan, sebaliknya menjadi bahasa warisan jati diri masyarakat sejak turun-temurun.
Warisan itu terus dipelihara oleh Penasihat Kebudayaan Kampung Lawrence Ganchan yang membimbing generasi muda mempelajari tarian tradisional masyarakat Bidayuh seperti Langgi Pingadap, Langgi Julang, Sirinde dan Langgi Rambun.
Menurut Lawrence, minat yang mendalam mendorong beliau mengikuti pelbagai kursus berkaitan sejarah, adat resam dan kesenian masyarakat Bidayuh bagi memperkukuh pengetahuan sebelum menurunkan ilmu tersebut kepada orang lain.
“Ilmu yang diperoleh kemudiannya dimanfaatkan dengan melatih golongan muda di Kampung Mujat supaya mereka mampu mempersembahkan tarian tradisional mengikut keaslian gerak tari dan adat yang diwarisi sejak dahulu,” katanya kepada Malaysia Aktif baru-baru ini.
Beliau menjelaskan Langgi Pingadap merupakan tarian tradisional etnik Bidayuh yang dipersembahkan bagi menyambut tetamu yang berkunjung ke rumah panjang.
Mengulas mengenai Langgi Julang pula, beliau berkata tarian kreatif yang meniru pergerakan burung helang di awangan itu memerlukan penari bertubuh kecil serta mempunyai kemahiran tinggi untuk menari di atas dulang.
Tarian Sirinde ciptaan nenek bernama Teyung Jenai pula katanya dipersembahkan untuk mengiringi Majlis Pentahbisan individu yang dipilih menjadi Paderi Pagan atau Tukang Pancha semasa Gawai Pimpijog.
Beliau berkata kewujudan Tukang Pancha atau Berih amat penting dalam masyarakat Bidayuh kerana hampir semua upacara Gawai tidak dapat dilaksanakan tanpa kehadiran mereka.
Sementara itu, Langgi Rambun merupakan tarian kemasyarakatan yang dipersembahkan secara beramai-ramai sebagai simbol keraian terbuka pada acara kemuncak sambutan Gawai Dayak seperti upacara Nyisan Bunos.
Bagi memastikan seni tari tradisional terus lestari, Lawrence melatih generasi muda di Kampung Mujat hampir setiap hari agar mereka menguasai setiap gerak tari dan memahami nilai budaya yang terkandung di sebaliknya.
“Walaupun ia tidaklah 100 peratus seperti asal, sekurang-kurangnya usaha ini dapat menunjukkan kepada generasi muda di Kampung Mujat bahawa tradisi ini perlu terus dipertahankan supaya tidak hilang ditelan zaman,” tegasnya.
-RJ-





