
Laporan/Foto: Sunday Grace Justimus/Randawi Tavantang Kaamatan 2026 (Sabah)
PENAMPANG, 30 Jun (MalaysiaAktif) – Perjuangan anak muda Totu Dyeneley Daud, 19, merangkul gelaran Juara Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) Peringkat Negeri Sabah 2026 sentiasa diiringi usahanya untuk optimumkan kemampuan kendiri.
Manakan tidak, persaingan melibatkan peserta daripada 50 daerah mendorong beliau untuk lebih berusaha dan tabah agar tidak mudah berputus asa berdepan cabaran yang menguji ketahanan fizikal serta kearifan mengenai budaya.
Menurut Dyeneley, pengalaman dan ketersediaan untuk terus belajar daripada setiap cabaran yang ditempuhi membentuk keyakinan tinggi sekali gus pendorong utama untuknya menjadi seorang insan memberi aspirasi kepada Masyarakat.
“Pelbagai pengalaman termasuk berdepan kritikan sebelum ini menjadi antara faktor yang membentuk keberanian untuk tampil bercakap di hadapan khalayak dan keyakinan diri bukan sesuatu yang kita lahir terus ada, semua itu datang melalui pengalaman hidup dan setiap pengalaman mengajar saya untuk menjadi lebih berani serta sentiasa memperbaiki diri.
“Cabaran terbesar sepanjang menyertai RTK ialah mengatasi keraguan terhadap diri sendiri kerana ramai sebenarnya mempunyai potensi, namun sering dihalang oleh rasa takut dan terlalu memikirkan pandangan orang lain.
“Kita hanya perlu menjadi diri sendiri dan percaya kepada segala persiapan yang telah dilakukan. Apabila kita benar-benar bersedia, keyakinan itu akan hadir dengan sendirinya,” katanya ketika ditemu bual dalam segmen iNSPO@JAPENSabah baru-baru ini.
Dyeneley yang kini mengikuti pengajian dalam bidang Pendidikan Muzik Pendidikan Rendah di Institut Pendidikan Guru menyifatkan RTK memainkan peranan penting sebagai platform melahirkan duta budaya dalam kalangan belia di Sabah.
“Gelaran mungkin hanya sementara, tetapi tanggungjawab sebagai duta budaya akan kekal. Semua peserta sebenarnya memainkan peranan mempromosikan budaya Sabah walaupun tidak bergelar juara.
“Golongan muda, jangan takut untuk mencuba, jika anda gagal, tetaplah bangkit dan cuba lagi. Potensi yang kita miliki hanya akan berkembang apabila kita berani melangkah,” kongsinya.
-RJ-





