Skip to main content
Berita TempatanSarawak

50 Ahli Jawatankuasa Sertai Kursus Induksi Pengurusan Masjid Balingian

By 19 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Matsukarmi Suani (Balingian)

BALINGIAN, 30 Jun (MalaysiaAktif) – Seramai 50 ahli jawatankuasa pengurusan masjid dan surau sekitar kawasan Balingian menyertai Kursus Induksi Pengurusan Masjid dan Surau di Masjid Darul Taqwa semalam bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran institusi Islam.

Program anjuran Masjid Darul Taqwa Balingian dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) itu bertujuan memberikan pendedahan mengenai amalan terbaik dalam aspek tadbir urus selaras dengan keperluan semasa.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid Darul Taqwa Balingian Ismail Shawal berharap agar program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan lebih banyak surau di kawasan sekitar.

“Semoga program seumpama ini yang melibatkan surau-surau lain dapat diadakan sebagai usaha berterusan meningkatkan ilmu dan kemahiran ahli jawatankuasa dalam mengurus masjid serta surau dengan lebih berkesan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Program sehari bermula seawal  7.30 pagi hingga 4.30 petang itu katanya menghimpunkan para peserta bagi mengikuti pelbagai sesi perkongsian berkaitan pengurusan organisasi dan peranan jawatankuasa.

Penganjuran kursus tersebut membawa tema ‘Memperkasa Pentadbir Masjid dan Surau ke Arah Pengurusan Yang Cekap, Telus dan Berkesan’ sejajar dengan usaha melahirkan barisan pentadbir berintegriti serta sistematik.

Para peserta diberi pendedahan mengenai amalan terbaik dalam pengurusan masjid dan surau serta turut berpeluang bertukar pandangan serta berkongsi pengalaman bagi memperkukuhkan jaringan kerjasama antara institusi masjid di kawasan berkenaan.

Penganjuran kursus induksi ini katanya diharapkan menjadi platform berterusan dalam memperkasakan institusi masjid sebagai pusat pembangunan ummah sekali gus menyokong aspirasi melahirkan pengurusan yang lebih profesional di Sarawak.

-RJ-

Tinggalkan komen anda