Skip to main content
Rencana & PendapatSarawak

Manok Pansuh Warisan Kulinari Masyarakat Iban

By 35 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)

SRI AMAN, 30 Jun (MalaysiaAktif) – Manok Pansuh atau Ayam Pansoh merupakan hidangan tradisional masyarakat Iban yang dimasak menggunakan buluh dan terus kekal sebagai warisan kulinari turun-temurun selain kini menjadi antara makanan ikonik Sarawak.

Keistimewaan hidangan tersebut terletak pada teknik memasak menggunakan buluh bersama ramuan tradisional seperti serai, halia, bawang putih, bunga kantan, pucuk tepus dan daun-daun hutan yang menghasilkan aroma semula jadi serta cita rasa tersendiri.

Selain menjadi hidangan istimewa, Manok Pansuh turut melambangkan hubungan rapat masyarakat Iban dengan alam semula jadi serta semangat gotong-royong yang diwarisi sejak dahulu.

Pengamal budaya Iban dari Lubok Antu Stanley Kauh berkata penyediaan hidangan itu mencerminkan cara hidup masyarakat Iban yang menghargai kesederhanaan, kerjasama dan rasa hormat terhadap alam sekitar.

“Hampir semua ramuan diperoleh daripada hasil hutan dan tanaman tempatan,” katanya kepada Malaysia Aktif kelmarin.

Beliau menjelaskan ayam kampung atau ayam tua lazimnya dipilih kerana teksturnya lebih pejal serta mampu menyerap rempah dan herba dengan baik sebelum dibakar di dalam buluh sekali gus mengekalkan kelembapan isi daging.

Menurut Stanley, walaupun masyarakat kini menggunakan periuk tekanan, ketuhar atau dapur elektrik, ramuan tradisional tetap dikekalkan bagi memastikan keaslian rasa warisan kulinari itu terus terpelihara.

“Dahulu Manok Pansuh sangat sinonim dengan masyarakat Iban, tetapi hari ini ia turut dimasak oleh masyarakat Melayu, Bidayuh, Melanau, Orang Ulu, Cina serta kaum-kaum lain di Sarawak,” ujarnya.

Beliau menambah penerimaan meluas terhadap masakan tradisional tersebut membuktikan bahawa makanan mampu menjadi medium perpaduan yang kukuh antara kaum.

Kini hidangan itu bukan sahaja menjadi sajian wajib ketika Hari Gawai Dayak, malah turut dihidangkan dalam pelbagai majlis serta menjadi tarikan pelancongan gastronomi yang melambangkan keharmonian masyarakat majmuk di Sarawak.

-RJ-

Tinggalkan komen anda