
Laporan/Foto: Raszina Kawie (Samarahan)
KOTA SAMARAHAN, 30 Jun (MalaysiaAktif) – Projek Pembinaan Tangki Aras Tinggi (HLT) Samarindah bernilai RM30.4 juta bakal memperkukuh sistem bekalan air sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 penduduk apabila siap sepenuhnya pada Mei 2027.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi berkata bekalan air merupakan infrastruktur asas penting yang menjadi keutamaan Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak.
“Kerajaan negeri terus mengambil langkah proaktif dengan mempercepat pelaksanaan projek bekalan air bagi memenuhi keperluan rakyat,” katanya selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek berkenaan di Jalan Samarindah Baru hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan Datuk Hamzah Brahim menjelaskan Taman Samarindah merupakan antara kawasan perumahan terbesar di Sarawak dengan jumlah penduduk sekitar 5,000 hingga 6,000 orang.
Hamzah menjelaskan pertumbuhan pesat kawasan tersebut serta pembangunan perumahan baharu telah meningkatkan permintaan sehingga menyebabkan masalah tekanan air rendah khususnya pada waktu puncak.
Beliau berharap kontraktor yang dilantik oleh Sarawak Water Sdn. Bhd. dapat mempercepatkan pelaksanaan projek serta menegaskan tindakan sewajarnya perlu diambil sekiranya berlaku kelewatan menjejaskan tempoh penyiapan.
Salah seorang penduduk Taman Samarindah Baru Jamain Mahmud, 68, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas pelaksanaan projek infrastruktur tersebut.
Seorang lagi penduduk Maryana Abdullah, 48, berkata projek itu amat dinantikan kerana dijangka dapat mengatasi masalah gangguan tekanan air yang sering menjejaskan urusan harian keluarga.
“Kami berharap apabila projek ini siap nanti, masalah tekanan air dapat diselesaikan sekali gus memudahkan urusan harian terutama bagi ibu bapa yang menguruskan rumah tangga,” katanya.
Projek merangkumi pembinaan dua tangki berkapasiti 4.5 juta liter setiap satu serta pemasangan saluran paip utama sepanjang 4.5 kilometer itu dijangka meningkatkan kapasiti simpanan air terawat dan menstabilkan tekanan sistem agihan sedia ada.
-RJ-




