
Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)/IPD Mukah
MUKAH, 2 Julai (MalaysiaAktif) – Seorang pesara kerajaan mengalami kerugian RM914,209 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan dalam talian tidak wujud yang menawarkan pulangan lumayan.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata mangsa, 56 tahun menjumpai iklan tawaran tersebut di Facebook menggunakan nama Arctic Tern Advisory pada 22 Dis tahun lepas.
“Mangsa kemudian berhubung dengan seorang individu bernama ‘Kamil’ sebelum dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan WhatsApp yang dikendalikan beberapa individu lain yang mendakwa mewakili syarikat pelaburan berkenaan.
“Mangsa kemudian dipujuk untuk menyertai pelaburan itu melalui platform yang dinamakan sebagai Setia Capital Trading dengan modal permulaan RM300,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata suspek mendakwa pelaburan itu diuruskan kecerdasan buatan (AI) yang mampu menjana pulangan tinggi dalam masa singkat sebelum berkongsi dengan mangsa keuntungan pelaburan yang telah bernilai RM87,124.
Mangsa bagaimanapun katanya diarahkan melakukan pelbagai pembayaran kononnya untuk memproses keluar keuntungan tersebut.
“Akibat mempercayai helah tersebut, mangsa telah membuat 88 transaksi berjumlah RM914,209 antara 22 Dis 2025 sehingga 6 Mac lepas ke 32 akaun individu di enam bank berbeza.
“Mangsa yang mula rasa tertipu apabila tiada sebarang keuntungan pelaburan diterimanya telah membuat laporan polis pada semalam dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
-RJ-




