Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Dua Beradik Ditahan, Maritim Johor Rampas Dadah Hampir RM7 Juta

By 45 minutes yang laluTiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syamilah Yusman/Mohd Zahid Othman (Johor)

JOHOR BAHRU, 2 Jul (MalaysiaAktif) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor menggagalkan cubaan dua beradik menyeludup dan mengedar pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM7 juta dalam operasi di Perairan Tenggara Tanjung Piai, Isnin lepas.

Pemangku Pengarah APMM Johor Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata operasi itu dijalankan hasil risikan pada malam Ahad sebelum sebuah bot fiber suspek berusia 26 dan 40 tahun yang juga adik-beradik ditahan pada 12.36 tengah malam.

“Hasil pemeriksaan menemukan 88.2 kilogram (kg) dadah disyaki syabu bernilai RM4.41 juta serta 30,000 biji pil ekstasi bernilai RM2.25 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Negeri Johor, di sini semalam.

Beliau berkata pemeriksaan susulan di sebuah kediaman di Gelang Patah turut menemukan 787 kartrij vape disyaki mengandungi dadah sintetik jenis ‘Piu Piu’ bernilai RM196,750 selain menyita sebuah Perodua Myvi bernilai RM50,000.

Menurut beliau, rampasan ini dianggarkan mampu membekalkan dadah kepada lebih sejuta penagih dan merupakan antara rampasan terbesar pihaknya.

“Hasil saringan awal mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-FN

Tinggalkan komen anda