Skip to main content
Berita TempatanSarawak

44 Pertubuhan di Tellian Terima Geran MRP RM723,000

By 9 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun/Ambrose Wennanddo (Mukah)

MUKAH, 4 Jul (MalaysiaAktif) – Sebanyak 44 buah kelab, persatuan, pertubuhan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di kawasan Tellian menerima Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM723,000 bagi menyokong pelaksanaan program pembangunan komuniti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata peruntukan itu merupakan sokongan berterusan kerajaan kepada organisasi masyarakat yang menjadi rakan strategik dalam melaksanakan pelbagai inisiatif di peringkat akar umbi.

“Geran ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi merupakan satu pelaburan sosial yang mampu memberi impak positif kepada komuniti.

“Melalui peruntukan yang diberikan, pelbagai program dapat dilaksanakan dengan lebih terancang dan berkesan demi kesejahteraan rakyat,” katanya ketika menyampaikan geran tersebut, semalam.

Menurut Royston, institusi seperti JKKK dan PIBG memainkan peranan penting kerana sentiasa dekat dengan masyarakat serta lebih memahami keperluan setempat.

Beliau berkata, bantuan tersebut dijangka dimanfaatkan bagi melaksanakan program dalam bidang pendidikan, sukan, kebajikan, sosial dan pembangunan komuniti.

Dalam pada itu, Royston turut mengingatkan semua penerima supaya menguruskan peruntukan secara telus, berhemah dan bertanggungjawab agar setiap program dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat sasaran.

Tegasnya, pembangunan sesebuah kawasan bukan hanya bergantung kepada projek fizikal, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif masyarakat melalui pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kesejahteraan sosial dan ekonomi penduduk.

Sementara itu, wakil penerima geran merakamkan penghargaan atas sokongan yang diberikan dan menyifatkan bantuan tersebut sebagai pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai program komuniti sepanjang tahun.

-RJ-

Tinggalkan komen anda