
Laporan/foto: Mohd Nazri (Langkawi)/UKK APMM
LANGKAWI, 4 Julai (MalaysiaAktif) – Latihan Search and Rescue Exercise (SAREX) Lang Bronok 2026 berjaya menghimpunkan 33 kementerian, jabatan, agensi kerajaan dan sektor swasta dalam usaha memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi pelbagai bentuk kecemasan dan krisis maritim.
Program yang berlangsung dari 29 Jun hingga 2 Julai itu merupakan penganjuran kali pertama hasil kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Petronas, melibatkan penyertaan seramai 560 peserta serta penggunaan 26 aset darat, laut dan udara.

Antara latihan yang dilakukan semasa SAREX LANG BRONOK 2026
Latihan yang diadakan di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Langkawi, YTL Langkawi Cement Works, Terminal Minyak Langkawi (Petronas) dan Terminal Feri Kuah memberi fokus kepada simulasi operasi mencari dan menyelamat (SAR), pemindahan mangsa, pengurusan lokasi kejadian serta penyelarasan operasi pelbagai agensi dalam situasi kecemasan.
Selain menguji keupayaan aset dan anggota, latihan itu turut mengaplikasikan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 18 berkaitan Pengurusan dan Pengendalian Krisis Keganasan. Peserta juga melaksanakan simulasi pengurusan insiden tumpahan minyak yang menekankan tindakan awal mengawal pencemaran, pemasangan oil boom, operasi pembersihan serta kerjasama bersepadu antara agensi bagi melindungi keselamatan perairan dan ekosistem marin.
Latihan lapangan itu turut memberi peluang kepada semua peserta mengaplikasikan prosedur, perancangan dan koordinasi yang telah dibincangkan semasa sesi Main Exercise Briefing (MEB) dan Table Top Exercise (TTX).
Menurut Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa, latihan berkonsepkan situasi sebenar amat penting bagi memastikan tahap kesiapsiagaan, keberkesanan prosedur operasi standard (SOP) serta kefahaman terhadap peranan setiap agensi sentiasa berada pada tahap terbaik dalam menghadapi sebarang insiden kecemasan maritim.
“Pelaksanaan latihan secara bersepadu turut memperkukuh koordinasi antara agensi sekali gus meningkatkan keupayaan negara dalam menghadapi pelbagai bentuk kecemasan di perairan negara,” ujarnya.
-AA-




