
Laporan/foto: Aishah Latip/Indah Putra (Lundu)
LUNDU, 8 Jul (MalaysiaAktif) – Masyarakat disaran meningkatkan kefahaman mengenai undang-undang keluarga Islam, khususnya berkaitan pengurusan harta pusaka bagi memastikan hak setiap waris terpelihara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Azizul Annuar Adenan berkata, kefahaman tersebut penting dalam membentuk masyarakat berilmu dan bertanggungjawab agar urusan kekeluargaan diselesaikan mengikut hukum syarak serta peruntukan undang-undang.
“Undang-undang keluarga Islam bukan sekadar berkaitan urusan di mahkamah, tetapi menjadi panduan dalam mengurus kehidupan berkeluarga dengan penuh keadilan, amanah dan tanggungjawab.
“Setiap individu mempunyai hak dan peranan yang perlu dihormati,” katanya ketika berucap pada Seminar Kefahaman Undang-Undang Keluarga Islam Sarawak sempena Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak 2026 di Dewan Mahligai Gading, hari ini.
Menurut Azizul, antara isu yang sering dihadapi masyarakat ialah perceraian, nafkah, hak penjagaan anak dan pengurusan harta pusaka yang memerlukan kefahaman jelas bagi mengelakkan kekeliruan serta pertikaian berpanjangan.
Beliau berkata, kelewatan atau kegagalan mengurus harta pusaka secara teratur bukan sahaja menjejaskan proses pentadbiran, malah boleh menimbulkan konflik dalam kalangan waris.
“Pengurusan pusaka bukan hanya berkaitan pembahagian harta, tetapi turut melibatkan amanah dan keadilan kepada waris yang berhak. Oleh itu, masyarakat perlu memahami perkara berkaitan faraid, hibah, wasiat serta prosedur pentadbiran pusaka,” jelasnya.
Dalam pada itu, Azizul turut menggesa masyarakat agar mendapatkan nasihat daripada pihak berautoriti dan tidak bergantung kepada maklumat yang tidak sahih, terutama dalam perkara melibatkan hukum syarak serta perundangan.
Sementara itu, seminar anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak dengan kerjasama Majlis Islam Sarawak tersebut membuktikan komitmen berterusan institusi agama dalam menyampaikan ilmu dan khidmat nasihat kepada komuniti.
Program itu turut melibatkan kerjasama Pejabat Daerah Lundu serta Jabatan Tanah dan Survei Sarawak bagi menyediakan panduan menyeluruh berkaitan pembubaran perkahwinan, hak penjagaan anak dan pengurusan harta pusaka.
-RJ-






