Skip to main content
Berita TempatanSarawak

60 Organisasi Komuniti Mukah Terima Peruntukan Khas RM353,755

By 16 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun/Almalhakim Norshidi (Mukah)

MUKAH, 8 Jul (MalaysiaAktif) – Sebanyak RM353,755.41 disalurkan kepada 60 penerima menerusi Sumbangan Peruntukan Khas Fasa 2 Tahun 2026 bagi menyokong pelaksanaan pelbagai program pembangunan komuniti, pendidikan dan kebajikan di kawasan Parlimen Mukah.

Peruntukan yang disediakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah Dato Hanifah Hajar Taib itu memanfaatkan pelbagai organisasi akar umbi termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dalam satu kenyataan, Hanifah berkata pembangunan komuniti yang mampan memerlukan kerjasama erat antara pemimpin, agensi kerajaan dan masyarakat setempat, selain sokongan berterusan kepada organisasi berkenaan.

“Pembangunan sesebuah kawasan tidak hanya bergantung kepada projek fizikal semata-mata, tetapi turut melibatkan pembangunan modal insan, pendidikan, kebajikan dan pengukuhan hubungan sosial dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berharap semua penerima dapat menguruskan peruntukan yang diterima secara berhemah dan telus supaya manfaatnya dinikmati oleh lebih ramai penduduk.

Terdahulu, majlis penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan oleh Pegawai Pusat Khidmatnya Almalhakim Norshidi bagi mewakili Hanifah, hari ini.

Menurut Almalhakim, sumbangan itu mencerminkan komitmen berterusan wakil rakyat berkenaan dalam memastikan organisasi komuniti memiliki sumber mencukupi untuk melaksanakan program bermanfaat.

“Peruntukan ini diharap dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua penerima bagi menjayakan program dan aktiviti yang memberi impak positif kepada masyarakat.

“Setiap inisiatif yang dilaksanakan mampu menyumbang kepada pembangunan komuniti yang lebih progresif dan sejahtera,” jelasnya.

Tambah beliau, JKKK berperanan sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat, manakala PIBG memacu kerjasama sekolah dan ibu bapa, di samping NGO yang menyumbang kepada program kebajikan serta kesukarelawanan.

Sementara itu, para penerima menyifatkan bantuan tersebut sebagai sokongan bermakna dalam memastikan pelbagai program komuniti, aktiviti pendidikan, gotong-royong dan pembangunan belia dapat dilaksanakan dengan berkesan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda