Skip to main content
Berita TempatanSabah

Mariah Tasip Tokoh Ma’al Hijrah Kuala Penyu 2026

By 17 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Dzulhardey Shah/Mohammad Amirul (Kuala Penyu)

KUALA PENYU, 8 Jul (MalaysiaAktif)–Pengorbanan dan jasa dalam mendidik ummah selama hampir tiga dekad membolehkan anak kelahiran Kampung Kerukan, Kuala Penyu, Mariah Tasip, 63, dinobatkan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Daerah Kuala Penyu.

Beliau dianugerahkan pengiktirafan itu atas sumbangan besar dalam bidang dakwah, pendidikan Al-Quran, pengajaran Fardu Ain serta pembangunan seni nasyid di daerah berkenaan.

Mariah yang pernah menjadi guru Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) berkata, selain menjadi penghargaan kepada dirinya, anugerah tersebut menjadi pengiktirafan kepada seluruh warga pendidik yang terus berbakti membimbing masyarakat ke arah kehidupan berteraskan nilai Islam.

“Walaupun sudah bersara daripada perkhidmatan rasmi beberapa tahun lalu, pengiktirafan ini menyuntik semangat untuk terus menyumbang kepada agama dan masyarakat.

“Ini adalah anugerah daripada Allah SWT. Saya berharap ia menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mendalami ilmu agama serta mendorong para pendidik agar terus berbakti kepada masyarakat demi melahirkan insan yang kukuh imannya dan dekat hatinya dengan agama,” katanya semasa Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M, semalam.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias, Datuk Isnin Aliasnih, pada majlis yang berlangsung di Dewan Dato’ Shahbandar Makang, semalam.

Pada majlis bertemakan “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati”, Mariah merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Induk Sambutan Maal Hijrah Daerah Kuala Penyu atas kepercayaan memilihnya sebagai Tokoh Ma’al Hijrah tahun ini.

“Pengiktirafan ini adalah amanah besar yang akan terus dipikul dengan penuh tanggungjawab melalui usaha berterusan dalam menyampaikan dakwah dan khidmat kepada masyarakat, khususnya di Kuala Penyu,” ujar bekas guru Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (KAFA) itu.

Sambutan Maal Hijrah Daerah Kuala Penyu turut diserikan dengan ceramah khas yang disampaikan oleh Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Asyraf selain persembahan daripada kumpulan nasyid tempatan, Waiz.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan, Ag Damit Talip, wakil Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Roslan Daud serta Pegawai Tadbir Agama Daerah merangkap Setiausaha Majlis Sambutan, Ahmad Sulaiman.

-RJ-

Tinggalkan komen anda