Skip to main content
Berita TempatanSabah

Program MEKAR, Mudahkan Rakyat Miliki Dokumen Diri Sah

By 11 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ahmad Faizal Jamil (Kinabatangan)

KINABATANGAN, 12 Jul (MalaysiaAktif) – Pelaksanaan Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Komuniti berhasil mendekatkan perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kepada masyarakat luar bandar khasnya dalam urusan semakan status dokumentasi, khidmat nasihat serta permohonan berkaitan pendaftaran.

Program anjuran bersama JPN Sabah dan Mahkamah Tinggi Daerah Sandakan itu turut menyediakan perkhidmatan terus kepada penduduk seperti perakuan daftar lewat sijil kelahiran, urusan pesuruhjaya sumpah, pembaharuan kad pengenalan dan perkhidmatan khidmat nasihat guaman.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.58 Lamag, Faridah Saidin berkata program itu sangat signifikan sebagai pemudahcara kepada masyarakat untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri yang sah sekali gus memudahkan urusan mendapatkan akses kepada pendidikan, kesihatan, kebajikan serta pelbagai bantuan kerajaan.

“Saya berharap Program MEKAR ini dapat diteruskan kerana percaya masih ada lagi penduduk di Kinabatangan ini yang tercicir dari memiliki dokumen diri yang sah.

“Kami di Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.58 Lamag telah membuat persediaan awal dengan mengenal pasti dan mengumpulkan semua kes berkaitan, khususnya isu pendaftaran lewat kelahiran serta urusan dokumentasi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Langkah ini penting supaya segala dokumen dan keperluan dapat dilengkapkan lebih awal, sekali gus membolehkan urusan dapat diselesaikan dengan lebih lancar semasa Program MEKAR diadakan,” katanya semasa Program MEKAR Komuniti dan Program Mahkamah Bergerak di Dewan Terbuka Pejabat Daerah Kinabatangan semalam.

Berlangsung selama dua hari, program berkenaan telah disertai seramai 153 orang penduduk tempatan bagi mendapatkan pelbagai perkhidmatan berkaitan dokumentasi dan pendaftaran.

Sementara itu, program tersebut tegasnya suatu inisiatif bukan sahaja memudahkan urusan masyarakat, malah meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan lengkap.

“Saya juga ingin turut menyampaikan hasrat dan harapan Yang Berhormat ADUN Lamag Mohd Ismail agar pihak agensi berkaitan boleh terus memperkukuh dan memperluaskan pelaksanaan Program MEKAR agar lebih ramai masyarakat yang memerlukan dapat menikmati manfaatnya sehingga ke seluruh pelusuk pedalaman khususnya di kawasan Lamag ini.

“Semoga kerjasama semua pihak dapat memudahkan urusan masyarakat dan memastikan tiada rakyat di kawasan Lamag yang tercicir daripada menerima manfaat program ini,” ujarnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda