Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

Simulasi Ex-Pasca Perkukuh Kesiapsiagaan PDRM Hadapi PRU DUN Negeri Sembilan

By 58 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Khairul Othman (Negeri Sembilan)

SEREMBAN, 11 Jul (MalaysiAktif) – Tahap kesiapsiagaan 220 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Negeri Sembilan Ke-16 diperkukuh menerusi pelaksanaan simulasi latihan Ex-Pasca, semalam.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Mohd Nasharudin Mohd Shariff berkata latihan itu bertujuan menguji keberkesanan pelan tindakan, penyelarasan operasi serta keupayaan pasukan keselamatan dalam menghadapi pelbagai kemungkinan sepanjang proses pilihan raya.

Beliau berkata fokus simulasi berkenaan tertumpu kepada senario rusuhan susulan tindakan sekumpulan pihak yang tidak berpuas hati terhadap keputusan pilihan raya.

“Melalui simulasi ini, kita menguji tahap koordinasi antara PDRM dengan semua agensi terlibat, termasuk tindakan FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) dan pasukan khas yang digerakkan bagi meleraikan rusuhan serta melaksanakan tangkapan terhadap individu yang bertindak ganas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas simulasi tersebut di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, di sini semalam.

Mohd Nasharudin berkata latihan itu merupakan fasa terakhir dalam siri latihan yang dilaksanakan sejak dua minggu lalu bermula dengan simulasi hari penamaan calon di Port Dickson, tempoh berkempen di Nilai serta hari mengundi di Kuala Pilah yang turut melibatkan senario gangguan ketenteraman awam.

Simulasi itu turut melibatkan kerjasama FRU, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Pejabat Daerah Seremban, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta agensi berkaitan lain.

-FN

Tinggalkan komen anda