Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Tilawah, Hafazan Al-Quran Semai Generasi Berilmu, Berakhlak Mulia

By 55 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Haffis Seria (Matu)

MATU, 12 Jul (MalaysiaAktif) – Amalan membaca dan menghayati al-Quran secara konsisten mampu melahirkan masyarakat berilmu serta menjadi asas penting dalam membentuk generasi seimbang daripada aspek rohani dan sahsiah.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya berkata, kitab suci itu merupakan panduan utama dalam membentuk peribadi unggul serta memimpin umat ke arah kehidupan diredai.

“al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, malah perlu difahami, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian kerana ia menjadi panduan terbaik dalam membentuk insan yang berilmu, berakhlak serta bertanggungjawab kepada agama, masyarakat dan negara.

“Penganjuran program seperti ini bukan sahaja mencungkil bakat dalam bidang tilawah dan hafazan, malah menjadi platform menyemai kecintaan terhadap al-Quran dalam kalangan generasi muda agar syiar Islam terus berkembang di daerah ini,” katanya ketika merasmikan Program Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Daerah Matu 2026 di Masjid Hidayatullah, Kampung Jemoreng, kelmarin.

Bagi keputusan kategori Qari, Hata Kiprawi dari Kampung Jemoreng muncul johan diikuti Mohd Ishak Darahman dari Kampung Tian sebagai naib johan, manakala tempat ketiga dimenangi Syazwan Mohamad @ Hamzah dari Kampung Sekaan Besar.

Kategori Qariah pula menyaksikan Betty Soffia Hamaran dari Kampung Tengah Igan dinobatkan sebagai johan, diikuti Jamilah Ahmad dari Kampung Baru Dagang sebagai naib johan dan Dalila Nur Athirah Abdullah dari Kampung Sekaan Besar di tempat ketiga.

Sementara itu, pertandingan Hafazan Al-Quran kategori sekolah menengah diungguli oleh Nur Ammar Afiffudin Kamarudin dari SMK (A) Igan selaku johan, manakala Alia Humaira Materang dari sekolah sama meraih tempat kedua dan Nur Damia Aina Ibrahim dari SMK Matu di tempat ketiga.

Bagi kategori sekolah rendah, Muhammad Azka Ariq Rahmat dari SK Kampung Pergau dinobatkan johan, diikuti Uqashah Abdullah dari SK Kampung Igan sebagai naib johan dan Aidil Zafuan Ibrahim dari SK O.K. Sergunim di tempat ketiga.

Secara keseluruhannya, program anjuran Pejabat Daerah Matu dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Matu Daro itu memilih 10 peserta terbaik yang akan mewakili daerah ke pertandingan peringkat seterusnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda